JOHOR BAHRU: Pelepasan air dari loji kumbahan merupakan antara punca utama yang menyebabkan 25 sungai di seluruh negara berada dalam kategori tercemar, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Beliau berkata sungai yang tercemar itu dikesan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, dan Sarawak, dengan pengkelasan kualiti air sungai (IKA) berada dalam kelas III dan IV.
“Selain daripada pelepasan air loji kumbahan, punca pencemaran lain termasuklah sisa ternakan, pelepasan sisa industri dan projek-projek pembangunan yang menghasilkan keladak apabila hujan.
“Air buangan itu sepatutnya dirawat sehingga mematuhi undang-undang sebelum boleh dilepaskan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar Bersama Media di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Johor Mohd Hanafi Samad, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor Dr Mohd Famey Yusoff dan Guru Besar SK Bukit Mutiara Noor Huda Hamid.
Bagaimanapun, Wan Abdul Latiff berkata jumlah sungai tercemar di seluruh negara telah berjaya dikurangkan kepada 25 berbanding 29 sungai pada tahun lepas atas usaha berterusan yang dilakukan JAS bersama pelbagai agensi.
Beliau berkata JAS akan terus melakukan pemantauan secara berterusan dalam memastikan kualiti air 672 sungai di seluruh negara selain turut menjalankan penguatkuasaan terhadap punca pencemaran.
Berkenaan pindaan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), Wan Abdul Latiff berkata pihaknya yakin pindaan akta itu mampu mengurangkan isu pencemaran alam sekitar.
“Pindaan ini memperuntukkan hukuman lebih berat. Kini, JAS sedang menyediakan kertas siasatan dan dijangka akhir tahun ini akan ada pendakwaan bawah akta baharu ini,” katanya.
Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2023 yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 25 Mac lepas melibatkan pindaan kepada 28 seksyen dalam Akta 127.
Pindaan ini antara lain merangkumi pemantapan hukuman dengan julat kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta, serta penjara mandatori tidak melebihi tempoh lima tahun.– BERNAMA