Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Air gunung rahsia keenakan ‘si jenggo’  Kampung Klian Gunung
  • RENCANA

Air gunung rahsia keenakan ‘si jenggo’  Kampung Klian Gunung

Utusan Sarawak 9 hours ago
PENTERNAK udang galah, Yusni Dahalan, 47, (kiri) melayan pelanggannya, Hafizi Ismail, 52, yang datang membeli hasilnya itu di kolam di Kampung Klian Gunung, mukim Ijok di sini di sini baru-baru ini. Air dari Lata Puteh yang kaya dengan oksigen disalurkan terus ke kolam menggunakan batang paip PVC dan polietilena yang mewujudkan ekosistem semula jadi menyerupai habitat asal udang galah, atau nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii. Menurut Yusni, air dari lata berkenaan mengandungi oksigen terlarut secara semula jadi hasil percikan dari kawasan tinggi yang memberi kelebihan kepadanya kerana tidak perlu menggunakan kincir air atau pam elektrik bagi membekalkan oksigen, sekali gus menjimatkan kos operasi. Foto BERNAMA

SELAMA:  Berlatarkan Banjaran Bintang Hijau dengan keindahan alam memukau, Kampung Klian Gunung, mukim Ijok di sini, dikenali kerana keenakan udang galah yang diternak di dalam kolam dan menjadi punca rezeki sebilangan kecil penduduk.

Sekalipun diternak, menurut penggemar, rasa udang galah atau ‘sepit biru’ atau ‘si jenggo’ ini  tidak kurang hebatnya berbanding dengan yang ditangkap di habitat asal – manis dan tiada rasa lumpur – mengundang pertanyaan tentang petua amalan pengusaha.

Tidak ada rahsia, kata mereka, sekadar memanfaatkan air dari gunung yang dialirkan terus dari sebuah lata setinggi 300 meter ke kolam ternakan udang mereka.

Menggunakan batang paip PVC dan polietilena, air dari Lata Puteh yang kaya dengan oksigen disalurkan ke kolam, menyediakan ekosistem seakan habitat asal kepada hidupan akuatik dengan nama saintifik Macrobrachium rosenbergii itu.

“Air di Lata Puteh ini mengandungi oksigen terlarut secara semula jadi hasil percikan air dari kawasan tinggi dan menjadi satu kelebihan buat saya selain menjimatkan kos, kerana tidak perlu menyediakan kincir air atau pam elektrik untuk menghasilkan oksigen.

“Melalui maklum balas pelanggan, mereka kata rasa isi udang galah yang diternak di sini bukan hanya manis malah tidak berbau lumpur,” jelas seorang penternak Yusni Dahalan kepada Bernama.

SEBAHAGIAN hasil udang galah hasil ternakan Yusni Dahalan, 47, ketika ditemui di kolam miliknya di Kampung Klian Gunung, mukim Ijok di sini di sini baru-baru ini. Air dari Lata Puteh yang kaya dengan oksigen disalurkan terus ke kolam menggunakan batang paip PVC dan polietilena yang mewujudkan ekosistem semula jadi menyerupai habitat asal udang galah, atau nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii. Menurut Yusni, air dari lata berkenaan mengandungi oksigen terlarut secara semula jadi hasil percikan dari kawasan tinggi yang memberi kelebihan kepadanya kerana tidak perlu menggunakan kincir air atau pam elektrik bagi membekalkan oksigen, sekali gus menjimatkan kos operasi. Foto BERNAMA

TIADA BEKALAN AIR PAIP 

Yusni, 48, yang terlibat dalam bidang itu sejak enam tahun lalu, mewarisi perusahaan berkenaan daripada keluarganya yang merupakan antara penternak udang galah air gunung terawal kira-kira 25 tahun lalu.

Selain dia, ada lapan lagi penternak udang galah di kampung itu yang berdaftar dengan Majlis Daerah Selama (MDS).

Bercerita lanjut, Yusni berkata mereka menggunakan air gunung kerana ketika itu kampung berkenaan masih belum dibekalkan dengan air paip.

“Kita tahu harga udang galah ini mahal, jadi, itulah antara faktor yang mendorong kami terlibat dalam bidang ini. Namun, ketika itu kampung kami tidak ada air paip dan kami bergantung pada air dari lata untuk aktiviti harian. Dari situlah idea gunakan air gunung untuk kolam udang galah,” katanya. 

Sekalipun terletak hanya kira-kira 25 kilometer dari pekan kecil Selama, Kampung Klian Gunung boleh dikatakan kawasan pedalaman dan masih belum begitu diusik arus pemodenan, sekali gus keindahan semula jadinya kekal terpelihara dan kini menjadi antara kawasan agropelancongan di Perak.  

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, pada masa ini dia mempunyai lapan buah kolam dengan setiap satu berkeluasan 650 meter persegi yang dapat menampung kira-kira 10,000 ekor udang pada satu-satu masa.

“Benih udang galah berusia 40 hari yang kita beli daripada pusat pembenihan di Manjung akan dimasukkan ke dalam setiap kolam dan biarkan membesar hingga capai usia matang, iaitu sekitar lima ke enam bulan dengan saiz purata seekor melebihi 18 sentimeter.

“Udang galah yang diternak ini juga diberi makan dedak (khusus untuk udang) tiga kali sehari dengan kuantiti sekitar 1.2 kilogram (kg) bagi setiap kolam. Jumlah (kuantiti dedak) itu juga akan meningkat setiap bulan disebabkan tumbesarannya,” jelas anak jati Selama itu.

Menurut Yusni, dia mampu mengeluarkan lebih 700 kg udang galah setiap tuaian, yang dijual terus kepada pelanggan di sekitar Perak dan negeri berjiran pada harga RM80 sekilo.

PENTERNAK udang galah, Yusni Dahalan, 47, menangkap udang galah yang ditempah pelanggan di kolam miliknya di Kampung Klian Gunung, Mukim Ijok, baru-baru ini. Menggunakan batang paip PVC dan polietilena, air dari Lata Puteh yang kaya dengan oksigen disalurkan ke kolam, menyediakan ekosistem seakan habitat asal kepada hidupan akuatik dengan nama saintifik Macrobrachium rosenbergii itu. Katanya melalui maklum balas pelanggan, mereka kata rasa isi udang galah yang diternak di sini bukan hanya manis malah tidak berbau lumpur. Yusni, 48, yang terlibat dalam bidang itu sejak enam tahun lalu, mewarisi perusahaan berkenaan daripada keluarganya yang merupakan antara penternak udang galah air gunung terawal kira-kira 25 tahun lalu. Foto BERNAMA

“Permintaan memang tinggi dan sampai sekarang saya tidak mampu untuk pasarkan ke tempat yang lebih jauh,” katanya yang turut menawarkan aktiviti memancing udang galah kepada para penggemar dan pengunjung yang ingin merasai pengalaman menaikkan si jenggo. 

Mengenakan caj memancing RM15 satu jam, Yusni membuka kolamnya untuk aktiviti itu dari Selasa hingga Ahad, bermula 4.00 petang hingga 11.00

 malam.

“Kalau hujung minggu atau cuti persekolahan sambutan amat menggalakkan daripada pengunjung luar. Rata-rata yang datang memang akan memancing di sini bagi merasai sendiri kenikmatan menaikkan udang galah ini.

“Kami juga sediakan perkhidmatan memasak udang galah yang dipancing oleh pengunjung, dengan hidangan seperti mi kuah udang galah dan mi kari udang galah,” katanya, menambah setiap hidangan berharga RM20 ke atas. 

SELAMA SEBAGAI KAWASAN AGROPELANCONGAN

Sementara itu, Yang Dipertua MDS Nor Akmal Yang Ghazali berkata pada masa ini terdapat 300 buah kolam udang galah air gunung di mukim Ijok yang diusahakan oleh 68 penternak berdaftar.

“Kolam udang galah air gunung ini ‘aset’ berharga MDS untuk diketengahkan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026. Kekuatan aset ini ialah penggunaan air gunung (kerana di tempat lain tidak ada),” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, terdapat tujuh lata di Selama dengan tiga di Ijok, iaitu Lata Puteh, Lata Buluh dan Lata Titi Dua dengan 300 kolam terbabit menggunakan air dari Lata Puteh dan Lata Buluh.

PENTERNAK udang galah, Yusni Dahalan, 47, memberi makan kepada ternakannya di kolam miliknya di Kampung Klian Gunung, mukim Ijok di sini baru-baru ini. Air dari Lata Puteh yang kaya dengan oksigen disalurkan terus ke kolam menggunakan batang paip PVC dan polietilena yang mewujudkan ekosistem semula jadi menyerupai habitat asal udang galah, atau nama saintifiknya Macrobrachium rosenbergii. Menurut Yusni, air dari lata berkenaan mengandungi oksigen terlarut secara semula jadi hasil percikan dari kawasan tinggi yang memberi kelebihan kepadanya kerana tidak perlu menggunakan kincir air atau pam elektrik bagi membekalkan oksigen, sekali gus menjimatkan kos operasi. Foto BERNAMA

“Daerah Selama ini mempunyai kelebihan dari segi sumber semula jadi yang bersih dan belum tercemar serta masih terdapat komuniti kampung yang mengamalkan pendekatan pertanian dan penternakan secara konvensional.

“Kita mahu pastikan produk seperti ini bukan sahaja dilihat sebagai aktiviti ekonomi bagi usahawan setempat tetapi turut memberi pengalaman dan keunikan berasaskan keindahan semula jadi kepada para pelancong yang datang ke sini,” katanya.

Nor Akmal berkata selain aktiviti berkenaan, MDS dengan kerjasama Rakan Strategik Pelancongan MDS (RSP-MDS) turut menawarkan pelbagai produk pelancongan berasaskan komuniti seperti perusahaan kopi kampung, produk industri kecil dan sederhana, dusun buah-buahan serta kawasan rekreasi semula jadi seperti 7 Lata Selama.

Katanya pendekatan ini turut membuka peluang penjanaan ekonomi baharu kepada para penduduk, mewujudkan peluang pekerjaan selain membantu merancakkan sektor pelancongan luar bandar secara inklusif.

“MDS selaku pihak berwajib yang mengawal selia setiap usahawan ini akan terus komited memperkukuh kemudahan asas serta memantapkan strategi promosi digital bagi membantu produk agropelancongan tempatan dikenali bukan hanya di peringkat kebangsaan malah antarabangsa,” katanya.– Bernama

Continue Reading

Previous: Konsep perkahwinan menurut Islam

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.