
BANGKOK, THAILAND: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa air bakal muncul sebagai komoditi industri bernilai tinggi setara dengan tenaga, sejajar dengan peningkatan permintaan global terhadap pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau.
Beliau berkata, air bukan lagi sekadar sumber asas, sebaliknya akan menjadi nadi kepada transformasi industri moden.
“Air lebih daripada sekadar sumber, ia adalah komoditi baharu yang menjadi teras perjalanan Sarawak menuju masa depan berdaya tahan dan lestari,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Air: Mendorong Masa Depan Berdaya Tahan dan Lestari Sarawak’ pada Kongres & Pameran Air dan Pembangunan IWA di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit, di sini, hari ini.


Foto ihsan Pejabat Premier Sarawak.
Menurut Abang Johari, industri global kini semakin bergantung kepada sistem penyejukan berasaskan air bagi menyokong pemprosesan data berketumpatan tinggi dan infrastruktur AI. Perkembangan ini, jelasnya, akan meningkatkan nilai air sebagai komponen penting dalam tenaga industri.
“Disebabkan permintaan yang tinggi, harga air akan meningkat dan menjadi sebahagian daripada tenaga industri,” ujarnya sambil menjangkakan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, air akan menjadi elemen utama dalam transformasi industri dunia.
Beliau turut menekankan bahawa air bukan sahaja menyokong komuniti, malah menjadi tulang belakang kepada aspirasi tenaga hijau Sarawak, termasuk penjanaan kuasa hidro dan pengeluaran hidrogen pada masa depan.


Foto ihsan Pejabat Premier Sarawak.
Abang Johari menegaskan bahawa usaha Sarawak melaksanakan Rancangan Induk Bekalan Air serta pelaburan dalam infrastruktur berskala besar bagi menjamin keselamatan bekalan air jangka panjang, daya tahan ekonomi dan pembangunan mampan.
Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Pengarah Eksekutif IWA Dr Kala Vairavamoorthy, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang.