
KANOWIT: Keberanian dan keaslian wanita Borneo terserlah di pentas Ratu Etnik Pesta Kanowit 2025 apabila peserta tampil memperagakan busana tradisional masing-masing dengan penuh keyakinan, sekali gus membuktikan kecantikan sejati wanita terletak pada warisan budaya dan jati diri.
Wakil Miss Petite Continental Malaysia, Adline Teo berkata, pertandingan berprestij itu bukan sekadar menilai kecantikan luaran semata-mata, sebaliknya menjadi platform memperkasakan wanita sebagai simbol kekuatan dan warisan budaya di negeri ini.
“Acara seperti ini bukan hanya meraikan keindahan budaya tempatan tetapi turut mengangkat martabat wanita Borneo yang berani dan autentik.
“Setiap senyuman dan langkah mereka di pentas melambangkan semangat serta impian wanita Borneo yang luar biasa,” katanya.
Malam kemuncak pertandingan turut menyaksikan pengumuman pemenang dengan Ainul Aisyah Mahadir dinobatkan sebagai Ratu Etnik Pesta Kanowit 2025 manakala Lidwina Banggi dan Angeline Claudia Louise masing-masing meraih gelaran naib johan pertama dan naib johan kedua.
Menurut Adline lagi, pertandingan berunsur etnik seperti ini wajar diteruskan kerana mampu menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai keaslian dan keindahan budaya tempatan.
“Kami berdiri bersama bukan sekadar sebagai ratu, tetapi sebagai inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus meraikan keaslian, keindahan dan keberanian wanita Borneo,” ujarnya.
Acara yang berlangsung meriah di pentas utama Pesta Kanowit itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan pelbagai etnik, diiringi sorakan dan sokongan padu daripada masyarakat setempat yang hadir memeriahkan suasana.
Oleh Tarani Lanting