
KUALA LUMPUR: Aina Abdul, Ernie Zakri dan Dayang Nurfaizah mengungguli Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM 24) dengan sembilan pencalonan masing-masing.
Aina dan Ernie antaranya tercalon bagi kategori Vokal Wanita Terbaik, Runut Bunyi Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kulit Single/Album Terbaik.

Dayang Nurfaizah pula tercalon bagi kategori Lagu Tradisional Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik, selain turut disenaraikan bagi kategori Album Terbaik bersama-sama Aina dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Aina, Ernie dan Dayang Nurfaizah juga bersaing dalam kategori Rakaman Album Terbaik dan Rakaman Lagu Terbaik.
AIM24 turut menyaksikan Siti Nurhaliza dan Hazama masing-masing menerima enam pencalonan termasuk kategori vokal terbaik serta lagu tradisional terbaik.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM Rosmin Hashim berkata, penganjuran kali ini menyaksikan peningkatan penyertaan apabila menerima 862 pencalonan berbanding 650 pada edisi sebelumnya.

Beliau berkata seramai 132 juri profesional daripada pelbagai latar belakang telah dilantik untuk menilai dan memberi markah kepada semua pencalonan bagi 30 kategori yang dipertandingkan.
“Penjurian bagi lima finalis terbaik telah dilaksanakan pada Julai lalu membabitkan beberapa fasa, manakala sesi penjurian akhir bagi kategori Lagu Terbaik berlangsung pada 29 Julai.
“Apa yang dipersembahkan hari ini ialah senarai calon ‘Top 5’ yang memperoleh markah tertinggi, dan pada 13 Sept nanti akan diumumkan siapakah yang dinobatkan sebagai pemenang AIM 24,” katanya pada sidang media pengumuman lima terbaik anugerah itu, hari ini.
Juri yang terlibat dalam pemilihan calon ialah Datuk Acis, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Yusof Haslam, Erma Fatima dan Datuk Mokhzani Ismail selaku ketua juri.
AIM 24 yang menawarkan ganjaran wang tunai berjumlah RM700,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) daripada Kementerian Komunikasi itu akan berlangsung pada 13 Sept depan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang dan disiarkan secara langsung menerusi TV2 serta RTM Klik.
-Bernama