
KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyalurkan pembiayaan mikro berjumlah RM146 juta kepada 23,243 Sahabat Usahawan AIM di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini melalui Skim Pembiayaan Ikhtiar (SPI).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata mulai tahun hadapan, sokongan kepada usahawan di negeri itu akan diperluas melalui pelbagai agensi dengan penyediaan skim pembiayaan kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk penjaja dan peniaga kecil.
Beliau berkata skim pembiayaan itu akan digerakkan melalui AIM, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan SME Corp.
“Bank Rakyat turut menawarkan insentif kadar keuntungan penskalaan PMKS dengan subsidi dua peratus bagi setiap pembiayaan.
“Langkah ini membolehkan usahawan menikmati pembiayaan pada kadar keuntungan lebih rendah berbanding kadar semasa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Menjawab soalan Michael Mujah Lihan, Ramanan berkata kementerian merangka program bimbingan dan latihan keusahawanan secara bersasar dan berstruktur melalui Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Bank dan SME Corp, selain menyediakan premis perniagaan yang lebih kondusif untuk penjaja dan peniaga kecil melalui projek Tamu Desa.
“Kita juga bercadang membuka hab PMKS yang diselaraskan SME Corp bagi membantu usahawan PMKS mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat, selain akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan negeri untuk penyelarasan pelaksanaan program,” katanya mengenai perancangan untuk memperkukuh bantuan kepada usahawan Sarawak tahun hadapan.- Bernama