
KUCHING: Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 dilancarkan dengan penuh meriah sempena AIFFA 2025 Under the Stars Opening Night, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.
Menurut Datuk Snowdan, AIFFA kekal sebagai acara utama kementerian yang mencerminkan komitmen berterusan selama lebih 12 tahun dalam memartabatkan sektor kreatif Sarawak dan ASEAN.
Beliau turut mengingatkan bahawa festival ini mula diperkenalkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika memegang jawatan Menteri Pelancongan dan kini telah menjadi platform serantau yang dihormati.
“AIFFA menghimpunkan penerbit, pelakon serta pembuat filem ternama di satu tempat. Kuching kini menjadi pusat pertemuan industri kreatif ASEAN,” katanya pada majlis Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 sempena AIFFA 2025 Under the Stars Opening Night di sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Festival kali ini menyaksikan penyertaan delegasi daripada Kemboja, Brunei, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan anggota terbaru ASEAN, Timor Leste, menunjukkan pengiktirafan serantau terhadap peranan AIFFA sebagai medan rangkaian industri dan kolaborasi merentas sempadan.
Majlis pembukaan juga menyaksikan pengumuman senarai filem yang dicalonkan daripada lebih 200 penyertaan, menandakan rekod baharu bagi festival ini. Datuk Snowdan menggesa para pembuat filem memanfaatkan peluang bengkel, tayangan dan sesi rangkaian yang disediakan penganjur, dengan harapan akan lahir kerjasama baharu sepanjang festival.
Dalam ucapannya, Datuk Snowdan menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada semua calon yang bakal menerima anugerah pada AIFFA Gala Night yang dijadual berlangsung di Pullman Kuching pada 15 November ini.
Turut hadir pada majlis berprestij itu ialah tetamu kehormat Simon Yang dan Laf Dias, sekali gus mengukuhkan kedudukan AIFFA sebagai platform pertemuan komuniti kreatif di Asia Tenggara.
Oleh Shikin Mahmud