KUCHING: Bumi Kenyalang sekali lagi terpilih sebagai lokasi perhimpunan pembikin filem terkenal 10 negara Asean bagi meraih Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) Edisi keenam yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos ini.
Setakat ini, sebanyak 120 penyertaan telahpun diterima untuk bersaing bagi anugerah terbaik.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting hari ini berkata, sambutan daripada pembikin filem dari 10 negara Asean amat menggalakkan dan menjangkakan lebih banyak penyertaan menyusul.
Beliau berkata penyertaan itu akan disenarai pendekkan kepada antara 30 dan 40 oleh sepasukan juri antarabangsa diketuai pembuat filem dan penerbit Malaysia U-Wei Shaari selepas tiga peringkat penghakiman.
“Mereka akan menonton saringan penyertaan dan kemudian memutuskan penyertaan mana yang akan masuk ke pusingan akhir sebelum pencalonan dimuktamadkan,” kata Ting kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa penganjur AIFFA di sini, hari ini.
Menurutnya, penyertaan yang dicalonkan adalah untuk filem terbitan dan tayangan pada 2020 hingga 2022, termasuk 20 filem dari Malaysia.
Katanya lagi, Anwar: The Untold Story sebuah filem merujuk kepada biografi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Kewangan dari 1991 sehingga dipecat pada 1998, bukanlah antara penyertaan yang diterima jawatankuasa penganjur kerana ia hanya ditayangkan tahun ini
“Kebanyakan penyertaan adalah dari Filipina dan Indonesia.
“Penyertaan dalam pelbagai bahasa tetapi perlu mempunyai sarikata bahasa Inggeris untuk dihakimi juri.
“Tayangan filem yang disenarai pendek akan diadakan di Auditorium Mahkamah Lama, sambil menambah bahawa terdapat juga gerai pameran AIFFA 2023 daripada PKS, FINAS dan persatuan dan rakan kongsi filem lain di tempat yang sama,” jelasnya.
Katanya, anugerah itu termasuk Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pengarah Fotografi Terbaik, Penyuntingan Filem Terbaik, Aksi Gambar Terbaik, Komedi Gambar Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.
Beliau berkata anugerah itu juga akan diberikan untuk Inspirasi Asia, Pencapaian Hidup, Semangat Asean dan Juri Khas.
Ting berkata nama-nama pemenang pelbagai anugerah akan diumumkan dan disampaikan pada malam Gala AIFFA 2023, 4 Ogos ini.
Selain U-Wei, juri lain termasuk Ihsan Nurullah Kabil dari Turki, Viva Westi dari Indonesia, Pham Thi Hong Anh dari Vietnam dan Effendi Mazlan dari Malaysia.
“Bagi peminat, inilah peluang untuk bertemu dengan pelakon dan kru filem Asean. Jadi bolehlah datang untuk menonton tayangan di Auditorium Mahkamah Lama kelak.
“Bengkel khas selama satu setengah hari mengenai filem dokumentari dan tayangan juga akan berlangsung di tempat yang sama,” katanya.
Jelasnya lagi, program khas itu secara tidak langsung memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penerbitan dokumentari.
Kali terakhir AIFFA diadakan pada 2019 dengan menyaksikan edisi keempat penganjurannya menampilkan bintang aksi hollywood Steven Seagal sebagai artis jemputan bersama selebriti tempatan lain seperti Datuk Sheila Majid dan bekas pengacara Asia’s Got Talent, Marc Nelson dan Rovilson Fernandez.
Oleh Mohd Neenatul Aizal