
SARIBAS: Sambutan Aidilfitri bukan sekadar perayaan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa, sebaliknya membawa makna yang lebih mendalam sebagai simbol kemenangan rohani, pengukuhan iman dan penghayatan nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, kehadiran masyarakat dalam majlis ramah tamah jelas memperlihatkan semangat kebersamaan dan perpaduan yang menjadi asas kepada kesejahteraan komuniti.

Menurut beliau, Aidilfitri perlu dilihat sebagai wadah untuk saling bermaaf-maafan, memperkukuh silaturahim serta menghapuskan segala sengketa yang mungkin wujud dalam kalangan masyarakat.
“Lebih penting lagi, Aidilfitri menjadi platform untuk kita mempererat hubungan sesama insan dan memupuk keharmonian yang berterusan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Komuniti Nek Unai Kampung Serabang, di sini, semalam. Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.

Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas menegaskan bahawa kekuatan sesebuah masyarakat bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut dipacu oleh hubungan sosial yang kukuh serta semangat gotong-royong.
Katanya, penganjuran program seumpama itu memberi peluang kepada masyarakat untuk berkumpul, bertukar pandangan serta mengeratkan hubungan antara generasi.
“Ia juga menjadi platform untuk memperkukuh nilai kebersamaan antara pemimpin dan rakyat, selain merapatkan hubungan antara golongan muda dan warga emas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, sukarelawan serta seluruh penduduk Kampung Serabang yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut.
Tambah beliau, kejayaan program berkenaan membuktikan semangat kerja berpasukan dan kesepaduan masyarakat yang wajar dijadikan contoh.
“Adalah menjadi harapan saya agar majlis ini bukan sahaja menjadi ruang untuk bergembira, tetapi juga sebagai titik tolak dalam usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat.
“Semoga nilai-nilai murni yang dipupuk dapat diteruskan dalam kehidupan seharian demi memastikan Kampung Serabang terus maju, aman dan sejahtera,” katanya.
Oleh Adi Safarman