Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Aidilfitri perkukuh perpaduan, pacu Sarawak Maju 2030
  • SEMASA

Aidilfitri perkukuh perpaduan, pacu Sarawak Maju 2030

Utusan Sarawak 7 hours ago

PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegaskan sambutan Aidilfitri bukan sahaja membawa makna kemenangan selepas Ramadan, malah menjadi wadah penting memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk di negeri ini.

Beliau berkata, Ramadan yang dilalui telah mendidik umat Islam tentang kesabaran, empati serta nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab yang perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

“Syawal yang menjelang adalah lambang kemenangan melawan hawa nafsu dan memperkukuh iman. Semoga segala amal ibadah kita diterima Allah SWT dan menjadi asas pembentukan masyarakat yang lebih berakhlak dan berdaya tahan,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri.

Menurut beliau, keunikan sambutan Aidilfitri di Sarawak terserlah melalui semangat perpaduan tinggi apabila rakyat pelbagai kaum dan agama saling ziarah-menziarahi serta mengeratkan silaturahim melalui amalan rumah terbuka.

Katanya, kepelbagaian latar belakang bukanlah jurang pemisah, sebaliknya menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat, sekali gus mencerminkan model keharmonian Sarawak yang berteraskan toleransi dan saling menghormati.

Dalam pada itu, Tun Wan Junaidi berkata di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, negeri ini terus mencatat kejayaan termasuk kerjasama strategik dengan Bank Dunia bagi memperkukuh tadbir urus dan perancangan fiskal.

Beliau turut menekankan kemajuan Sarawak dalam bidang inovasi dan teknologi, termasuk pembangunan peranti kecerdasan buatan (AI) seperti KETEQ AI serta pelaburan dalam ekonomi hidrogen, tenaga hijau dan pusat data berskala besar.

“Penubuhan syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo juga menjadi langkah penting dalam meningkatkan aksesibiliti dan kesalinghubungan udara, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Tambah beliau, konsep ‘Segulai Sejalai’ yang diamalkan rakyat Sarawak menjadi asas perpaduan kukuh antara pelbagai etnik termasuk Melayu, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau, Cina dan India.

Katanya, perpaduan yang terjalin ini menjadi benteng kepada pengaruh polarisasi serta menyumbang kepada kestabilan politik dan keharmonian sosial negeri.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sarawak untuk terus menyokong usaha pembangunan ke arah Sarawak Maju 2030 dengan memanfaatkan kekuatan perpaduan dan kepelbagaian yang ada.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota keselamatan, petugas perubatan serta penjawat awam yang terus berkhidmat sepanjang musim perayaan, termasuk di kawasan pedalaman.

Beliau juga menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.

“Marilah kita pelihara perpaduan ini dengan penuh amanah dan tidak membiarkan perbezaan kecil merosakkan hubungan persaudaraan yang telah lama terbina,” katanya.

Continue Reading

Previous: Aidilfitri cerminkan Sarawak di landasan ekonomi teknologi tinggi – Premier
Next: Aidilfitri platform kukuh perpaduan, kesejahteraan Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.