
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan sambutan Aidilfitri tahun ini hadir ketika Sarawak berada di landasan kukuh menuju transformasi ekonomi berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Beliau berkata, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi madrasah yang membentuk jiwa berintegriti, berdisiplin serta peka terhadap keperluan masyarakat, sekali gus menjadi asas penting dalam membina negeri yang maju dan sejahtera
Menurutnya, kerajaan Sarawak kini memberi fokus kepada pembangunan ekonomi berasaskan teknologi tinggi termasuk bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) serta aeroangkasa sebagai langkah strategik memastikan negeri ini kekal kompetitif di peringkat global.
“Kita mahu anak Sarawak bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi pencipta dan peneraju teknologi, termasuk membina ekosistem industri daripada penyelidikan sehingga ke pembuatan,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri.
Beliau turut mendedahkan inisiatif melahirkan kepakaran tempatan dalam bidang semikonduktor dengan menghantar pelajar Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah di United Kingdom sebagai pelaburan jangka panjang negeri.
Dalam sektor baharu, Abang Johari berkata Sarawak turut meneroka teknologi satelit kecil seperti CubeSat yang membuka peluang kepada generasi muda menceburi bidang kejuruteraan angkasa serta aplikasi data satelit bagi pembangunan negeri.
Selain itu, katanya, komitmen kerajaan terhadap pembangunan modal insan diperkukuh melalui pelaksanaan pendidikan tinggi percuma (FTES) bagi memastikan tiada anak Sarawak tercicir akibat kekangan kewangan.
“Pendidikan adalah kunci mobiliti sosial dan asas kepada pembinaan tenaga kerja mahir yang akan memacu masa depan Sarawak,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata Sarawak terus memperkukuh ekonomi hijau melalui pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti hidro, solar dan hidrogen, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai hab tenaga bersih serantau.
Mengulas pembangunan rakyat, beliau memaklumkan sebanyak 924 unit rumah mampu milik dan kos rendah telah siap dibina di seluruh Sarawak bagi tempoh 2021 hingga 2025, melibatkan pelbagai bahagian termasuk Kuching, Sibu, Miri dan Limbang.
Katanya, pembangunan infrastruktur turut dipergiat termasuk pembinaan rangkaian jalan baharu sejauh kira-kira 142 kilometer yang menghubungkan kawasan pedalaman seperti Miri, Marudi dan Mulu, memberi manfaat kepada kira-kira 75,000 penduduk.
“Pembangunan ini bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti, tetapi juga merancakkan sosioekonomi serta membuka potensi pelancongan, termasuk ke Taman Negara Gunung Mulu,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan perpaduan kekal menjadi teras kekuatan Sarawak, dengan Aidilfitri sebagai platform terbaik memperkukuh silaturahim serta meraikan kepelbagaian kaum dan agama.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau dan keluarga tidak akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarhamah Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
“Dengan penuh rasa rendah diri, saya memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan serta berjanji untuk terus berkhidmat dengan penuh integriti demi kemajuan Sarawak,” katanya.
Beliau mengajak seluruh rakyat untuk terus bersatu dan menyokong agenda pembangunan Sarawak Maju 2030 agar negeri ini kekal aman, stabil dan makmur untuk generasi akan datang.