Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Aidiladha suram buat mangsa letupan gas Putra Height
  • SEMASA

Aidiladha suram buat mangsa letupan gas Putra Height

Utusan Sarawak 22 hours ago
TATKALA umat Islam seluruh negara membuat persiapan terakhir menyambut Hari Raya Aidiladha, bagi sebahagian penduduk di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong di sini, persiapan kali ini diselubungi rasa hiba dan pilu susulan tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang memusnahkan kediaman mereka, 2 April lepas. Foto Bernama

SUBANG JAYA: Tatkala umat Islam di seluruh negara sibuk membuat persiapan terakhir untuk menyambut Aidiladha esok, sebahagian penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong hanya mampu melakukannya secara ala kadar selepas kediaman mereka musnah dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, 2 April lepas.

Walaupun tiada bau ketupat mahupun rendang memenuhi ruang dapur, mereka tetap bersyukur kerana terselamat dalam insiden itu dan masih berpeluang meneruskan hidup meskipun situasi kini tidak lagi sama seperti sebelumnya.

PENDUDUK Kampung Kuala Sungai Baru, Mohamad Nasir Abdul Hamid melihat keadaan rumahnya yang musnah akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April lepas, ketika tinjauan penerima bantuan pinjaman kenderaan, motosikal atau rumah sementara hari ini. Foto Bernama

Bagi Mohamad Nasir Ab Hamid, 69, semangat untuk meneruskan kehidupan menjadi kekuatan utama biarpun beliau sekeluarga ketika ini hidup dalam keadaan serba kekurangan selepas banyak harta benda hasil titik peluh selama ini musnah dalam kejadian itu.

“Alhamdulillah, saya dan keluarga masih diberi kesempatan untuk hidup dan menerima sokongan daripada masyarakat serta pelbagai pihak tetapi saya berharap proses pemulihan, khususnya membaik pulih rumah seperti yang dijanjikan, dapat dipercepat agar kehidupan kami kembali stabil,” katanya kepada Bernama.

Meskipun sudah lebih dua bulan kejadian itu berlaku, tinjauan Bernama mendapati hampir keseluruhan rumah Mohamad Nasir, kecuali garaj, masih tidak mempunyai bumbung manakala bahagian dalam rumah kosong tanpa sebarang perabot mahupun barang elektrik selepas ia rosak dan ‘cair’ akibat bahang susulan kebakaran tersebut. 

Mohamad Nasir tinggal di rumah itu dalam keadaan serba kekurangan dan hanya tidur di bahagian garaj dengan beralaskan tilam yang diterima daripada pusat penempatan sementara sebelum ini.

“Walaupun saya menerima bantuan dana untuk menyewa rumah, saya lebih selesa tinggal di rumah sendiri kerana boleh juga menjaga harta benda manakala rumah yang disewa itu diduduki oleh isteri dan empat anak,” katanya yang berharap kerajaan dapat membantu menyegerakan proses membaiki rumah mangsa yang terlibat dalam insiden itu.

Ahmad Danial, 25, pula berkata persiapan Aidiladha kali ini dibuat sekadar termampu dan walaupun ada menerima bantuan namun kehidupan mereka tidak lagi sama seperti dahulu kerana trauma masih menghantui mereka sekeluarga.

“Tidak ada persiapan besar. Keadaan rumah masih rosak jadi sukar untuk berkumpul dengan selesa bersama keluarga… kami hanya bergantung kepada sumbangan daripada persatuan setempat dan jiran tetangga,” katanya yang kehilangan pekerjaan selepas peristiwa tragis itu.

Sementara itu, Ahmad Kamarul Meskam, 42, berkongsi rasa sedih kerana tidak dapat berkumpul dengan ahli keluarga seperti kelaziman sebelum ini selepas rumah ibunya musnah secara total dalam kejadian itu.

“Sebelum ini, Aidiladha disambut meriah bersama adik-beradik yang berkumpul di rumah keluarga tetapi tahun ini, semua sudah berpecah kerana perlu sewa berasingan dan ibu pula terpaksa bergilir-gilir tinggal dengan kami.

“Setakat ini, tiada rancangan lagi untuk sambutan Aidiladha sebab kami dah tinggal berasingan. Kalau tidak, semua duduk dalam kawasan kampung ini,” katanya sambil mengakui tragedi itu meninggalkan kesan emosi yang mendalam dan menjejaskan perasaan untuk menyambut perayaan.

Walaupun ramai penduduk masih berduka namun difahamkan satu majlis ibadah korban akan berlangsung Ahad ini di satu lot tanah di kampung itu anjuran Persatuan Penduduk Kampung Sungai Baru hasil sumbangan beberapa ekor lembu dan kambing oleh seorang individu yang tidak ingin namanya disiarkan.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi 1 April lepas itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Kejadian itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar manakala 218 lagi tidak terjejas.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Masjidil Haram sambut ketibaan jemaah Tawaf Ifadah
Next: Petronas laksana semakan menyeluruh operasi untuk kekal berdaya saing

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.