
SARIKEI: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii telah menyumbangkan sebanyak 16 ekor lembu sempena sambutan Aidiladha tahun ini bagi membantu golongan yang memerlukan di Sarikei dan Meradong.
Katanya, daripada jumlah tersebut, sembilan ekor lembu disumbangkan untuk diagihkan di Sarikei manakala tujuh ekor lagi diperuntukkan kepada penerima di Meradong.
“Walaupun saya tidak berkongsi kepercayaan agama yang sama, kehadiran saya di sini adalah sebagai bukti utuhnya ikatan kekeluargaan dan semangat perpaduan kita di Bahagian Sarikei ini.
“Sebagai tanda sokongan terhadap program ibadah korban tahun ini, saya berbesar hati untuk menyumbangkan sebanyak sembilan ekor lembu di Sarikei dan tujuh ekor lembu di Meradong.

“Saya berharap sumbangan ini dapat memberi manfaat kepada para penerima serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan semua tidak kira kaum, umur dan agama,” katanya.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika menghadiri majlis Qurban Perdana Peringkat Bahagian Sarikei yang dijalankan di sini, baru-baru ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sarikei atas usaha menganjurkan program tersebut.
“Bagi saya, Aidiladha bukan sekadar satu perayaan, tetapi ia membawa makna yang lebih mendalam, iaitu nilai keikhlasan, kesyukuran serta semangat ukhuwah yang perlu kita terapkan dalam kehidupan seharian.
“Saya percaya, hubungan yang erat ini akan memacu kejayaan kita bersama dalam mencapai visi dan misi unggul yang mendukung pembangunan negeri ini khususnya dalam Bahagian Sarikei ini,” katanya.
Oleh Earl Anek