Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • AI ubah dunia kewartawanan
  • SEMASA

AI ubah dunia kewartawanan

Utusan Sarawak 2 days ago

KUALA LUMPUR:  Penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi sebahagian daripada operasi bilik berita dan serba-sedikit mengubah cara wartawan menjalankan tugas sambil mencetuskan tanda tanya berkaitan etika, ketepatan, dan kepercayaan.

Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong berkata inilah dilema yang dihadapi landskap media hari ini dalam hal berkaitan etika.

“Kepalsuan boleh memberikan implikasi besar. Integriti kewartawanan menuntut fakta disemak dengan teliti, dan perlu telus. Kepercayaan aset paling bernilai kepada seorang wartawan, dan mereka yang mengelirukan pembaca pasti akan membawa akibat yang serius,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Meskipun tidak menidakkan manfaat AI dalam meningkatkan produktiviti bilik berita, namun Yong berkata nilai teras kewartawanan seperti kebenaran, akauntabiliti, dan pertimbangan manusia tidak boleh dikompromi.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kebergantungan terhadap kandungan yang dijana AI serta penggunaan “deepfake” atau palsu tulen, yang seandainya tidak dikawal trend ini boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap media.

Yong berkata teknologi AI sudah banyak mengubah cara bilik berita beroperasi, antaranya membolehkan penyuntingan dilakukan lebih pantas, penyampaian kandungan diperibadikan dan aliran kerja yang lebih cekap. Hal ini dapat dilihat dalam kalangan wartawan muda yang lebih cenderung menggunakan ringkasan yang dijana oleh AI berbanding melakukan temu bual secara bersemuka.

“Tiada yang boleh menggantikan konteks, nada dan ekspresi manusia. Hanya dengan interaksi secara langsung boleh menyelami nuansa yang dapat menjadikan sesuatu laporan itu berkesan,” kata beliau.

Visual yang dijana oleh AI kini muncul sebagai medan baharu penyebaran maklumat palsu kata Yong sambil merujuk beberapa insiden terbaru di Malaysia dan rantau ini yang melibatkan suntingan imej yang mengelirukan. 

Yong berkata perkembangan itu memperlihatkan betapa pentingnya pelaksanaan protokol pengesahan yang ketat sebelum menerbitkan kandungan yang dijana atau disunting oleh AI, dan AI perlu dianggap sebagai alat bantu bukan pengganti kreativiti manusia.

Sementara itu, Prof Dr Manjit Singh Sidhu, pakar dari Kolej Pengkomputeran dan Informatik Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) berkata organisasi media di Malaysia telah mengadaptasi AI pada tahap berbeza-beza bergantung kepada keperluan siap siaga dan tumpuan strategik masing-masing.

Manjit berkata wartawan yang bersedia untuk menerima perubahan dan mendalami AI bukan sahaja mampu kekal relevan dalam perkembangan landskap, malah dapat membantu membentuk masa depan kewartawanan yang lebih bermakna dan berwibawa.  

Pada masa sama, beliau mencadangkan supaya organisasi berita merangka dan mematuhi garis panduan etika dalam penggunaan AI, serta memastikan ketelusan penggunaan teknologi itu dilaksanakan secara telus sepanjang proses menghasilkan berita.

Dalam usaha memastikan pengamal media benar-benar mempunyai pemahaman terhadap teknologi AI, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyelaras lima sesi latihan AI – masing-masing di Kuala Lumpur, Cyberjaya, Sarawak, Sabah dan Pantai Timur.

Menyedari kepesatan perkembangan AI, termasuk dalam bidang kewartawanan maka sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini mengetengahkan tema ‘Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika’

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzli ketika mengumumkan tema itu berkata dalam era transformasi digital, penggunaan AI semakin mempengaruhi cara maklumat dikumpul, diproses dan disebarkan.

HAWANA 2025 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 13 hingga 15 Jun, dengan kemuncak sambutan pada 14 Jun akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih 1,000 pengamal media, wakil persatuan wartawan tempatan dan wakil media daripada negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan kumpulan media profesional dan pakar industri, sambil bertukar-tukar idea serta menjalinkan hubungan strategik.– Bernama

Continue Reading

Previous: Digitalisasi cukai mudahkan urusan pembayar, tingkat pematuhan
Next: Raja Permaisuri Agong berkenan lawat Hospis Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.