“I’LL be back”, kata Arnold Schwarzenegger dalam filem ‘Terminator: Judgement Day’ pada 1991. Watak yang dibawa beliau adalah robot daripada Kecerdasan Buatan (AI) atau lebih dikenali sebagai ‘Artificial Intelligence’ iaitu bidang yang berkembang pesat, berpotensi merevolusikan cara kita hidup dan bekerja.
Kini ramai yang bercakap mengenai AI tetapi hakikatnya, AI sudah lama wujud, namun mengalami lonjakan hasil pembangunan pesat teknologi cip, kemajuan teknik pengaturcaraan komputer, pengolahan data dan pemodelan statistik.
AI adalah teknologi yang meniru kepintaran otak manusia dengan kemampuan untuk belajar memperbaiki mutu kerjanya dari semasa ke semasa hingga dapat berfungsi lebih cekap dan sempurna bagi melaksanakan suatu tugasan.
Kini AI sudah tidak asing lagi dalam kehidupan manusia, bahkan penggunaannya sudah tersebar luas ke pelbagai sektor industri seperti automotif, kesihatan dan kewangan. Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang berasaskan sistem digital kini berjalan rancak di serata dunia didorong oleh kemampuan AI sebagai satu daripada kunci pemacu utama.
Sama ada kita sedar atau tidak, kita semua sudah menggunakan AI. Dahulu kala, buku peta digunakan untuk mencari arah destinasi. Kini, tanpa mengetahui tanda tempat arah tuju, seseorang sudah boleh sampai dengan mudah melalui bantuan Google Maps atau Waze. Bagi sesetengah orang, tanpa penggunaan Waze, bagaikan sesat dalam dunia nyata.
Dahulu kala, surat menjadi penghubung khabar sesama sendiri. Surat layang menjadi racun dalam kehidupan masyarakat. Kini media sosial menjadi pengganti diri. Bahkan Facebook, Instagram, Twitter dan seumpamanya memberi lebih daripada itu. Malah dalam sekelip mata sesuatu isu boleh jadi tular @ versi surat layang dulu-dulu tapi kini menerusi WhatsApp. Pelbagai variasi maklumat, kandungan video dengan mudahnya disampaikan kepada pengguna.
ChatGPT kini menjadi aplikasi percuma terbaharu yang popular dalam menyelesaikan tugasan penulisan dan pencarian maklumat melalui jalan pintas. Teknologi di sebalik semua kemudahan ini adalah aplikasi AI.
AI membuatkan manusia kagum dengan hasil kerjanya. Namun teknologi ini turut mengundang rasa gusar apabila ia juga menjadi ancaman pekerjaan yang sedia ada dan etika penggunaannya. Menurut Laporan Masa Depan Pekerjaan Forum Dunia 2023, AI akan memberi impak besar terhadap hampir semua pekerjaan. Laporan ini melibatkan kajian yang dilakukan terhadap 803 syarikat dengan jumlah pekerja lebih 11.3 juta orang dalam 27 kluster industri dan 45 sektor ekonomi di serata pelosok dunia.
Dapatan kajian menunjukkan lebih 75 peratus syarikat bersiap sedia untuk menggunakan teknologi AI dalam tempoh lima tahun akan datang. Ini bermakna, kebanyakan kerja tidak memerlukan tenaga manusia.
Suka atau tidak, masyarakat dunia hari ini harus sesuaikan cara hidup dengan kehadiran AI, yang akan memansuhkan beberapa pekerjaan tetapi turut mencipta pekerjaan baharu. Sepertimana cara kerja kini yang telah banyak berubah dari manual kepada auto, AI akan perlahan-lahan mengukuhkan pasaknya dalam dunia yang sedang didominasi oleh era digitalisasi.
Pandemik turut cetus digitalisasi
Sekiranya dahulu ramai yang gusar dengan ledakan teknologi Internet, namun lama-kelamaan masyarakat seluruh dunia sedikit demi sedikit beradaptasi dengan penggunaannya. Pandemik Covid-19 juga telah memaksa semua orang untuk memanfaatkan dunia digitalisasi hingga hampir meninggalkan orang yang tidak dapat turut serta bersamanya.
Pandemik itu sendiri secara tidak langsung menjadi peledak kepada dunia digital. Nak makan roti canai atau tomyam pun, pesan guna Grab.
Jika manusia tidak mahu memanfaatkan perkembangan semasa, mereka nanti akan diubah oleh teknologi tersebut. Waima secanggih atau sebaik mana pun sesuatu teknologi, pengurusan dan penggunaanya harus dilakukan secara beretika dan berhati-hati.
Di sebalik tabir AI, ada manusia yang mengawal kemasukan data dan pengaturacaraannya. Maka penyalahgunaannya boleh menimbulkan masalah etika, kebocoran maklumat sulit, penggunaan data peribadi secara tidak sah atau pengambilan keputusan yang bersifat diskriminasi. Ini juga menjadi punca berleluasanya tipu dalam media sosial termasuk ‘phone scam’ hingga simpanan seumur hidup seseorang lesap sekelip mata kerana terpedaya.
Kebergantungan kepada teknologi AI juga boleh membuatkan manusia mengabaikan kemampuan dan keterampilan manusia yang diperlukan dalam pelbagai bidang. Ia semudah kalkulator menggantikan kemampuan manusia untuk mengira formula matematik mudah. Justeru, penting untuk memastikan AI digunakan dengan cara yang bertanggungjawab dan beretika di bawah kawalan manusia agar tidak menjadi ancaman.
Namun, AI juga membuka peluang kepada penjenayah siber teknologi melakukan klon suara, sekali gus menyaksikan keupayaan merobohkan sempadan antara realiti dan fiksyen.
Menurut Ketua Eksekutif Blackbird.AI, Wasim Khaled, pengklonan suara AI kini hampir tidak dapat dibezakan daripada percakapan manusia, membolehkan penjenayah siber melakukan jenayah secara berleluasa.
Ini berikutan carian internet yang mudah menghasilkan pelbagai aplikasi tersedia secara percuma untuk mencipta suara AI dengan mencuri sampel suara sebenar seseorang.
“Dengan sampel audio yang kecil, klon suara AI boleh digunakan untuk meninggalkan peti suara dan teks suara. Ia juga boleh digunakan sebagai penukar suara secara langsung pada panggilan telefon.
“Penipu boleh menggunakan dialek, jantina atau meniru corak pertuturan setiap orang yang mana teknologi membolehkan penciptaan palsu mendalam yang meyakinkan,” katanya seperti dilaporkan agensi berita.
AI adalah teknologi yang menjanjikan potensi besar untuk mengubah dunia, namun ia harus digunakan hanya untuk menyempurnakan kelangsungan kehidupan makhluk dan alam.
Dengan kehadiran AI, dunia pekerjaan mengalami perubahan drastik yang tidak menentu dan mencemaskan. Hal ini telah menimbulkan banyak persoalan dan cabaran yang perlu diatasi.
Begitu pun, masih terdapat beberapa pekerjaan yang belum terjejas oleh kehadiran teknologi AI. Fenomena ini menyebabkan banyak spekulasi dan teka-teki yang memerlukan jawapan dan penyelesaian.
Satu kajian di negara ini baru-baru ini menjangkakan beberapa pekerjaan yang bakal terjejas oleh kehadiran AI. Antaranya ialah pembantu pentadbir, kerana kemunculan pembantu maya dan ‘chatbot, sekali gus tugas seperti menjadual janji temu, mengurus emel dan membuat tempahan perjalanan kini boleh dilakukan secara automatik.
Begitu juga tugas kerani pendaftaran data kerana teknologi AI kini dapat membaca tulisan tangan, mengimbas dokumen, dan melaksanakan tugas pendaftaran data, menjadikan kerja ini kurang diperlukan.
Demikian juga jurujual di kedai runcit yang semakin menggunakan chatbot berteknologi AI dan pembantu maya untuk berinteraksi dengan pelanggan, mengurangkan keperluan untuk jurujual manusia.
Bagaimanapun, ada juga kerja yang kurang terjejas oleh AI seperti profesional kesihatan. AI dapat membantu profesional kesihatan dalam mendiagnosis dan merawat pesakit, tetapi ia tidak dapat menggantikan sentuhan manusia dan empati yang diperlukan dalam bidang ini.
Begitu juga guru, walaupun AI dapat membantu dalam tugas seperti penilaian dan memberikan pengalaman pembelajaran yang disesuaikan, peranan guru melibatkan ‘mentorship’, bimbingan, dan sokongan emosi yang tidak dapat digantikan oleh AI.
Peguam pun sama, kerana sifat kompleks dalam kes undang-undang memerlukan peguam manusia untuk menginterpretasi dan mengaplikasikan undang-undang, menjadikan kesannya kurang terjejas oleh AI. Sama juga bidang kreatif yang kerjanya memerlukan kreativiti, seperti reka bentuk dan penghasilan muzik, kurang terjejas oleh AI.
Di negara kita sekarang, AI sudah mula mengambil tempat seperti penggunaan troli beli-belah pintar berasaskan AI iaitu EzyCart, yang juga produk inovasi tempatan akan digunakan di pasar raya besar terkemuka di Malaysia seperti Redtick, Lotus’s dan Jaya Grocer.
Dibangunkan melalui kerjasama NanoMalaysia Bhd dan penyedia penyelesaian automasi runcit berasaskan AI, Retailetics Sdn Bhd, produk pintar itu mempunyai teknologi seperti imbasan kod bar, pengesahan berat barangan dan gabungan sensor ciri canggih yang dapat mengelak risiko kecurian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NanoMalaysia, Dr. Rezal Khairi Ahmad, dilaporkan berkata EzyCart itu, yang dilengkapi dengan sistem e-dompet, juga membantu pengguna mencari produk di rak barangan serta menggunakan bahan antibakteria berasaskan teknologi nano bagi memastikan ia sentiasa bersih.
NanoMalaysia memperuntukkan dana RM1 juta bagi pembangunan troli berkenaan. Buat permulaan, EzyCart akan diaplikasikan di Redtick Putrajaya dengan sebanyak 10 troli diletakkan di pasar raya itu.
Hakikatnya teknologi AI bakal melengkapkan kehidupan manusia, bukannya untuk mengawal kehidupan manusia.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak