
KUALA LUMPUR: Perkembangan pesat teknologi dan media sosial sememangnya banyak memudahkan tugas wartawan jenayah pada masa kini, sama ada dari segi pencarian maklumat mahupun penentuan lokasi kejadian jenayah atau bencana.
Sebelum era aplikasi seperti WhatsApp, Google Maps, Waze, kecerdasan buatan (AI) serta kemunculan pelbagai platform media sosial, wartawan jenayah sangat bergantung pada maklumat daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan berita terkini.
Revolusi digital yang mengubah landskap kewartawanan jenayah itu diakui wartawan Harian Metro Hafidzul Hilmi Mohd Noor yang berkata kemunculan pelbagai aplikasi pintar selain AI menjadi cabaran baharu buat wartawan di era moden.
Hafidzul Hilmi yang telah bertugas selama 13 tahun berkata wartawan di meja jenayah boleh mendapat sumber berita daripada pelbagai platform, bagaimanapun semua itu masih memerlukan pengesahan daripada pihak berkuasa supaya tidak mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
“Sebagai contoh, seorang wartawan jenayah ke lokasi jenayah, AI mampu membantu memberikan info atau terminologi di luar pengetahuan wartawan dengan cepat, namun tidak boleh menggantikan sentuhan ‘magis’ wartawan itu sendiri.
“Peranan wartawan sebagai sumber maklumat sahih dan berautoriti sama hebat dengan pasukan keselamatan dan warga pendidik dalam membina masyarakat yang berpengetahuan, positif, dan kompetitif,” kata Setiausaha Persatuan Wartawan Jenayah itu.
Sementara itu, Pegawai Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhammad Afiq Mohd Asri, 32, berkata wartawan sekarang bukan sahaja menulis berita, tetapi perlu mempunyai pengetahuan dalam membuat infografik, video pendek dan memahami penggunaan media sosial selari perkembangan semasa.
Beliau yang kini bertugas sebagai Ketua Biro Bernama Kelantan berkata perubahan berkenaan datang dengan pelbagai cabaran, maka wartawan perlu lebih pantas daripada media sosial dan pada masa sama memastikan maklumat yang disampaikan tepat serta sahih.
Berkongsi pengalaman sepanjang bergelar wartawan jenayah, Muhammad Afiq berkata satu daripada yang tidak dapat dilupakan ialah ketika membuat liputan misi tentera Malaysia dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada 2017.
“Ketika media Malaysia sedang merakam gambar dan membuat pemerhatian, sekumpulan lelaki tidak dikenali menghalang pergerakan kami, merampas kamera milik jurugambar Kementerian Pertahanan. Mereka juga meminta kami menyerahkan telefon bimbit dan dokumen pengenalan diri.
“Kami ditahan lebih dua jam, kami cuba kelihatan tenang walaupun hakikatnya rasa gementar, hanya ketabahan dan doa menjadi penguat semangat. Alhamdulillah selepas lebih dua jam, pihak tentera Lubnan berjaya mengesan lokasi kami dan berunding untuk membawa kami keluar dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, bagi wartawan sambilan Utusan/Kosmo Iskandar Shah Mohamed, 42, pengalaman diekori sekumpulan tonto selepas menyertai operasi pihak berkuasa di ibu kota antara yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar wartawan jenayah sejak 2007, selain keretanya pernah dilempar telur oleh individu yang tidak berpuas hati.
“Pernah satu malam selepas menyertai serbuan pihak berkuasa kereta saya diekori sekumpulan lelaki dipercayai tonto yang tidak berpuas hati, saya cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya sehinggalah saya mengambil keputusan masuk ke dalam sebuah balai polis di Kuala Lumpur,” katanya.
Antara pengalaman lain, termasuk kes penculikan dan pembunuhan kejam kank-kanak Nurin Jazlin Jazimin, nahas helikopter Nuri milik Tentera Laut Diraja Malaysia di Genting Sempah dan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.
Sebagai menghargai peranan dan sumbangan wartawan dalam pembangunan negara, Hari Wartawan Nasional (HAWANA) disambut pada setiap 29 Mei dan untuk HAWANA 2025, kemuncak sambutan akan diadakan pada 14 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengangkat tema “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, kemuncak sambutan HAWANA 2025 dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana, menampilkan pelbagai acara. termasuk Pesta Pantun pada 31 Mei lepas, Karnival HAWANA 2025 di Sunway Putra Mall pada 13 hingga 15 Jun dan forum media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada 14 Jun.– Bernama