Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Ahmad Zahid mohon bebas 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi
  • MAHKAMAH

Ahmad Zahid mohon bebas 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi

Utusan Sarawak 3 hours ago
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon untuk dilepas dan dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata permohonan itu telah difailkan di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lepas dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

“Pihak kami membuat permohonan itu atas alasan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan media pada 8 Januari lepas telah memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan tersebut membabitkan anak guam (Ahmad Zahid).

“Anak guam telah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi lebih dua tahun. Jadi tak adil untuk seseorang, pertuduhan itu sentiasa tergantung atas kepala beliau. Beliau perlu mencari kebenaran,” kata peguam itu selepas prosiding kes berkenaan di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor, di sini hari ini.

Hisyam berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan itu bersama sijil perakuan segera kepada AGC pada 30 Januari lepas dan mahkamah menetapkan pendengaran permohonan itu pada 24 Februari ini.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memohon supaya pendengaran permohonan hari ini ditangguhkan kerana pihaknya baru menerima permohonan itu pada Jumaat lepas.

“Jadi pihak kami mohon penangguhan kerana perlu memfailkan afidavit jawapan terlebih dahulu,” katanya dan pihak peguam tidak membantah perkara berkenaan.

Hakim Nurulhuda Nur’aini kemudian membenarkan prosiding pendengaran ditangguhkan serta memerintahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit jawapan pada 13 Februari ini, dan menetapkan 24 Februari sebagai tarikh pendengaran.

Difahamkan, Ahmad Zahid akan hadir pada prosiding pendengaran itu.

Pada 8 Januari lepas, AGC dalam kenyataan media memaklumkan, tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid, selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.

Pada 12 Januari lepas, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan keputusan untuk mengklasifikasikan kes Ahmad Zahid sebagai tiada tindakan lanjut dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.

Mohd Dusuki berkata keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara ‘suka-suka’  dan jabatan itu tidak akan memberikan ‘No Further Action’ tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid. – Bernama

Continue Reading

Previous: Terima suapan, bekas pengurus jualan bank didenda RM210,000

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.