
SIBU: Seorang ahli perniagaan wanita mengalami kerugian sebanyak RM110,000 selepas terpedaya dalam satu penipuan berkaitan wang kemenangan nombor ramalan yang kononnya dimenangi oleh seorang warga asing.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11 April lalu.
Menurut beliau, mangsa berusia dalam lingkungan 50-an itu bertemu dengan dua individu yang baru dikenalinya di sebuah restoran makanan segera di kawasan Tanah Mas pada 20 Mac lepas.
“Ketika mereka sedang berbual, seorang lelaki warga asing menghampiri dan mendakwa telah memenangi wang sebanyak RM500,000 menerusi nombor ramalan, namun tidak dapat menebus kemenangan tersebut kerana bukan warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, lelaki berkenaan kemudian menawarkan kepada mangsa untuk menuntut keseluruhan wang tersebut bagi pihaknya, namun mengenakan syarat bayaran RM200,000 sebagai balasan.
“Dua individu yang dikenalinya sebelum itu turut meyakinkan mangsa untuk berkongsi bayaran tersebut dan berjanji bahawa hasil kemenangan itu akan dikongsi sesama mereka sebagai ‘saham’.
“Mereka juga memberi wang kepada mangsa sebanyak RM150,000 dan RM20,000 untuk digunakan dalam pembayaran kepada lelaki berkenaan,” katanya.
Zulkipli berkata, mangsa bersetuju dan telah membuat beberapa pembayaran sebagaimana yang telah dipersetujui.
“Antara 20 Mac hingga 31 Mac, mangsa telah melakukan satu transaksi secara dalam talian ke dalam akaun tempatan, manakala empat lagi pembayaran dibuat secara tunai, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM110,000.
“Namun selepas bayaran dibuat, suspek memaklumkan bahawa proses pengeluaran wang kemenangan itu memerlukan masa tiga minggu. Malangnya, selepas tempoh itu, mangsa tidak menerima sebarang bayaran seperti dijanjikan,” ujarnya.
Mangsa mula menyedari dirinya telah ditipu apabila diminta untuk membuat tambahan bayaran sebanyak RM3,000 sebelum membuat laporan polis di balai berdekatan.
“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambah beliau.
Oleh Akun Giman