SIMANGGANG: Seramai 15 ahli Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Lingga Lingga tampil di Balai Polis Sri Aman di sini petang Rabu lepas untuk membuat laporan terhadap satu artikel berkaitan wakil rakyat mereka, Simoi Peri sebelum ini.
Artikel kajian persepsi mengenai wakil rakyat wanita Simoi Peri itu sedang tular di aplikasi media sosial iaitu WhatsApp group (Benak Family Group) pada masa sekarang dan dihasilkan oleh Awang Kasmurie Awang Ketot.
Mereka yang tampil membuat laporan polis berkenaan adalah Mohd Yusop Lugom (mewakili PBB DUN N28 Lingga), Kaunselor Kunjang Nanang (mewakili Pesaka PBB DUN N28 Lingga) dan Dayang Megeret Abang Hamid (mewakili Pergerakan Wanita PBB DUN N28 Lingga).
Turut hadir, Florence Suyong (mewakili Pesaka Pergerakan Wanita PBB DUN N28 Lingga), Tuai Rumah Augustine Nanta Kudang (mewakili Ketua Kaum Skra/Putat), Ayu Kias (mewakili PBB kawasan Seduku) dan Awang Azahari Awang Ahmad (mewakili PBB Kawasan Lemanak).
“Keputusan kajian Awang Kasmurie tidak mencerminkan kebenaran sebenar DUN Lingga,” menurut laporan polis yang dibuat oleh kumpulan berkenaan.
Mereka memberitahu, kajian bertajuk “Persepsi Penduduk DUN Lingga Terhadap ADUN N.28 Lingga” yang dihasilkan oleh Awang Kasmurie itu disifatkan sebagai cubaan untuk mencemar dan mencalarkan reputasi Simoi.
“Kami, ahli-ahli PBB Cawangan DUN Lingga mencurigai perbuatan ini dan menganggapnya sebagai sebahagian perbuatan daripada pihak pembangkang yang cuba memburukkan imej Simoi Peri dan mencetuskan persepsi negatif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
“Keadaan tersebut ditambah dengan reputasi ADUN Lingga yang selama ini sangat diterima penduduk (di Lingga) berdasarkan perkhidmatan yang diberi selama ini sejak menjadi wakil rakyat DUN Lingga,” kata mereka.
Selain itu, keputusan kajian itu kata mereka juga tidak mencerminkan kehendak dan suara majoriti penduduk DUN Lingga kerana wujud beberapa persoalan yang mencurigakan serta dakwaan tidak benar sekaligus cuba mengeksploitasi pemikiran penduduk khususnya para pengundi di kawasan DUN Lingga.
Lagi pun dakwaan yang mengatakan Simoi Peri gagal membawa perubahan dan pembangunan seimbang kepada penduduk DUN Lingga kata kumpulan itu jelas suatu usaha terdesak pihak tertentu yang cuba menghasut pengundi kononnya wakil rakyat mereka tidak mesra dan tidak membawa pembangunan.
“Sepanjang menjadi wakil rakyat, Simoi Peri telah berusaha membangunkan kawasan DUN Lingga bersama dengan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaku parti memerintah Kerajaan Sarawak pada masa sekarang.
“Malah, setiap permasalahan dan kebajikan penduduk juga sentiasa diselesaikan dari masa ke semasa seperti mana yang diperjelaskan dalam polisi dan dasar Kerajaan Sarawak,” kata mereka.
Kumpulan itu turut memberitahu setiap ahli GPS mempunyai buku laporan atau dikenali sebagai ‘score card’ dan Key Perfomance Indicator (KPI) yang perlu diperlengkap bagi memastikan setiap ADUN GPS memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk.
“Justeru, kami ahli-ahli Cawangan PBB DUN Lingga menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dibuat oleh penulis Awang Kasmurie yang cuba mengaibkan wakil rakyat kami iaitu Simoi Peri,” kata mereka.
Laporan polis tersebut kata mereka juga dibuat sebagai tanda bantahan dan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas itu dan berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap penulis dan mereka yang terlibat dalam kajian tersebut.
Oleh Valentine Ngumbang