Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Ahli Parlimen Sri Aman gesa RMK13 fokus keperluan rakyat termasuk kesihatan, pendidikan
  • NASIONAL

Ahli Parlimen Sri Aman gesa RMK13 fokus keperluan rakyat termasuk kesihatan, pendidikan

Utusan Sarawak 2 days ago
DATO Sri Doris Sophia Brodie. Foto: Sarawak First


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie, menggesa agar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi tumpuan kepada keperluan mendesak rakyat di kawasan itu.

Antara keutamaan yang diketengahkan termasuk pembinaan fasiliti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur pertanian yang strategik demi kesejahteraan penduduk.

Beliau mempersoalkan sama ada peruntukan RM40 bilion untuk sektor kesihatan di bawah RMK13 turut merangkumi pembinaan Klinik Kesihatan baharu di Bandar Simanggang, memandangkan bangunan sedia ada kini uzur dan tidak selamat digunakan.

“Saya amat berharap pembinaan Klinik Kesihatan di Bandar Simanggang dapat direalisasikan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat setempat,” katanya semasa perbahasan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam sektor pendidikan, beliau merujuk kepada peruntukan RM67 bilion untuk pembinaan sekolah baharu, pembaikan sekolah daif, serta pembangunan sekolah vertikal di luar bandar Sabah dan Sarawak.

Doris sekali lagi mengemukakan permohonan agar sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dibina di Pantu, memandangkan kawasan Sri Aman tidak mempunyai SBP kecuali Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Bahagian Betong.

Selain itu, beliau mencadangkan pembinaan Kolej Vokasional di Lachau atau Pantu, mengambil kira status Pantu sebagai daerah penuh sejak 2021 serta kedudukan strategiknya di persimpangan jaringan jalan Pan Borneo dan akses pedalaman Kranggas–Semawa.

“Kolej ini kelak dapat menawarkan Sijil Vokasional Malaysia dan Diploma Vokasional Malaysia kepada lepasan Tingkatan Tiga, selaras dengan penekanan kerajaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) dalam RMK13,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa perancangan perlu dilakukan lebih awal memandangkan pembinaan institusi pendidikan memakan masa antara tiga hingga lima tahun.

Dalam aspek ketahanan makanan, Doris menekankan potensi jelapang padi Batang Lupar seluas 5,100 hektar yang turut merangkumi sebahagian kawasan Parlimen Sri Aman. 

Walaupun projek tersebut dimulakan pada 2013 katanya, ia belum mencapai hasil optimum berikutan pelbagai kekangan termasuk kekurangan dana, infrastruktur lemah dan tadbir urus tidak selaras.

“Bagi mencapai sasaran 80 peratus nisbah kendiri pengeluaran padi menjelang 2030, pecutan bersasar perlu dilaksanakan segera. Saya berharap RMK13 dapat menangani segala kekangan ini dengan sewajarnya,” tambahnya.

Doris menutup ucapannya dengan merayu agar semua cadangan tersebut dimasukkan dalam pelan pembangunan RMK13 demi kesejahteraan rakyat dan masa depan generasi akan datang.

Oleh Adi Safarman

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: JPJ perluas saluran pendaftaran JPJeID di institut memandu bermula hari ini
Next: Isu kos sara hidup, pelaksanaan MLFF dan tarif timbal balik antara tumpuan Dewan Rakyat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.