
MIRI: Ahli Parlimen Miri menyambut baik komitmen Kerajaan MADANI dalam meneruskan agenda reformasi institusi susulan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Majlis Parlimen Kelima Belas yang berlangsung hari ini di Bangunan Parlimen.
Beliau berkata titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada istiadat berkenaan mencerminkan keutamaan negara dalam memperkukuh tadbir urus, memacu ekonomi, menjamin kesejahteraan rakyat serta mengangkat kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.
Menurutnya, bermula esok, Ahli-ahli Dewan Rakyat akan memulakan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda yang memberi ruang kepada wakil rakyat membangkitkan isu di peringkat nasional dan kawasan masing-masing, sebelum kementerian memberikan jawapan serta penjelasan.
“Sidang kali ini amat signifikan kerana beberapa pindaan undang-undang utama akan dibentangkan termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI) serta Rang Undang-Undang Ombudsman.
“Kesemua ini merupakan teras kepada reformasi institusi yang telah lama dituntut rakyat demi memastikan kerajaan yang lebih telus, bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memuji kesungguhan Kerajaan MADANI yang bukan sahaja komited terhadap reformasi, malah berani membawa rangka perundangan yang jelas ke Parlimen bagi memperkukuh tadbir urus negara dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi.
Sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Miri, beliau berkata akan terus memperkasa sektor pelancongan, seni dan budaya di seluruh negara, di samping terus memperjuangkan isu-isu rakyat di Miri.
Oleh Liong Chai Ling