
MIRI: Tiga rumah ibadat di sini menerima sumbangan berjumlah RM90,000 daripada Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.
Rumah ibadat tersebut ialah Masjid Ar’ Rayyan di Permyjaya, Gereja Methodist Tudan, dan Masjid Darul Istiqamah di Luak.
“Penyerahan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan saya untuk menyokong usaha pembangunan komuniti serta menaik taraf kemudahan asas yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh struktur sosial setempat,” katanya.
Menurut beliau, sumbangan kepada Masjid Ar’ Rayyan telah disalurkan bagi membiayai projek pembangunan dan kerja baik pulih masjid demi keselesaan jemaah dan penduduk setempat manakala sumbangan kepada Gereja Methodist Tudan pula bertujuan untuk menaik taraf pusat pembelajaran serta pembelian sistem pembesar suara (PA System) bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan aktiviti pendidikan dan keagamaan di kawasan tersebut.
Sementara itu, sumbangan kepada Masjid Darul Istiqimah digunakan bagi melaksanakan projek pembangunan dan kerja baik pulih agar masjid terus berfungsi sebagai pusat komuniti yang aktif.
“Sebagai Ahli Parlimen Miri, saya percaya rumah ibadah bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat, tetapi juga sebagai pusat komuniti, pendidikan rohani dan moral, serta wadah untuk memperkukuh perpaduan antara kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.
“Oleh itu, usaha untuk meningkatkan kemudahan di rumah ibadah merupakan satu bentuk pelaburan sosial yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat tanpa mengira latar belakang atau pegangan agama.
“Saya berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan pihak pengurusan dalam menjayakan projek yang telah dirancang.
“Apa yang lebih penting, saya mahu melihat rumah ibadah terus berperanan sebagai platform inklusif yang menyatukan komuniti serta mendidik generasi muda dengan nilai murni seperti hormat-menghormati, toleransi, dan semangat kebersamaan,” ujar beliau.
Beliau berharap,sumbangan kecil ini menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih menyeluruh pada masa hadapan serta mendorong lebih banyak kerjasama antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat sivil dalam membina Miri yang lebih sejahtera, harmoni dan bersatu padu.
“Saya juga akan terus menyalurkan bantuan kewangan kepada rumah-rumah ibadat lain yang memerlukan.
“Pejabat saya sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan maklum balas daripada masyarakat berkaitan keperluan pembangunan komuniti, agar tiada pihak yang tercicir dalam arus kemajuan,” katanya.
Tambah beliau, usaha membangunkan masyarakat memerlukan kerjasama semua pihak, dan beliau komited untuk memainkan peranan sebagai wakil rakyat dalam mendengar serta sedaya upaya membantu rakyat.
Oleh Liong Chai Ling