
MIRI: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, terus menzahirkan keprihatinan terhadap masyarakat setempat dengan menyalurkan bantuan kebajikan kepada beberapa masjid, surau serta keluarga memerlukan sempena Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh wakil beliau dari Pusat Khidmat Parlimen Miri, Christopher Jemat Amie, yang menyerahkan bekalan air mineral kepada beberapa masjid dan surau di sekitar daerah ini pada 4 Mac lalu.
Menurut Chiew, sumbangan air mineral itu disediakan bagi kegunaan para jemaah yang hadir menunaikan solat fardu, solat sunat tarawih serta pelbagai aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan, khususnya menjelang 10 malam terakhir yang penuh keberkatan.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu memudahkan pengurusan masjid dan surau dalam menyediakan keperluan kepada para jemaah yang hadir mengimarahkan rumah ibadat sepanjang Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut berharap sumbangan tersebut dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam di Miri selain menggalakkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.
“Saya juga berharap Ramadan ini menjadi ruang untuk masyarakat memperkukuhkan nilai perpaduan, semangat kebersamaan serta saling mengambil berat antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Antara lokasi yang menerima sumbangan tersebut ialah Surau Hidayatullah Kampung, Surau Darul Mukmin Riam, Masjid Nurul Jamilun Subhi, Masjid Darul Istiqamah Kampung Lereng Bukit, Masjid Darul Ridzuan Kem Sri, Masjid Darul Falah Riam, Masjid At-Taqwa Miri serta Masjid An-Nur Kampung Pujut.
Dalam perkembangan sama, Christopher turut mewakili Chiew untuk menyerahkan sumbangan Kotak Senyuman Miri Kita kepada 33 Ketua Isi Rumah (KIR) di kawasan KRT Tudan dan Desaras Utama.
Kotak tersebut mengandungi barangan makanan keperluan harian bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Menurut Chiew, bantuan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memastikan kebajikan masyarakat setempat sentiasa diberi perhatian.
“Diharapkan Kotak Senyuman ini dapat meringankan sedikit beban perbelanjaan keluarga penerima dan memberi sinar kegembiraan kepada mereka lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri,” katanya.
Beliau menambah bahawa Ramadan merupakan waktu terbaik untuk memperkukuh hubungan dalam masyarakat melalui amalan kebajikan dan semangat saling membantu.
Katanya, Pusat Khidmat Parlimen Miri akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan serta program komuniti bagi menyantuni keperluan masyarakat setempat selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kesejahteraan dan keharmonian dalam masyarakat.
Oleh Liong Chai Ling