Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Ahli Parlimen Miri bangkitkan isu pembangunan lapangan terbang, subsidi tiket dan kelewatan penerbangan
  • SEMASA

Ahli Parlimen Miri bangkitkan isu pembangunan lapangan terbang, subsidi tiket dan kelewatan penerbangan

Utusan Sarawak 2 hours ago
AHLI Parlimen Miri, Chiew Choon Man. 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man membangkitkan beberapa isu berkaitan pembangunan lapangan terbang, subsidi tiket penerbangan serta masalah kelewatan penerbangan dalam perbahasan beliau di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini dengan menekankan kepentingan memastikan kebajikan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion bagi pembinaan dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang di seluruh negara termasuk Lapangan Terbang Miri.

Menurut beliau, projek ini amat penting kerana bukan sahaja menjamin keselesaan pengguna, malah berpotensi menarik lebih banyak pesawat dan laluan penerbangan ke Miri sekali gus merangsang perkembangan ekonomi tempatan.

Menyentuh mengenai Subsidi Perkhidmatan Udara Luar Bandar, Chiew menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengekalkan bantuan tersebut yang membolehkan harga tiket ke kawasan pedalaman kekal mampu milik walaupun laluan berkenaan tidak menguntungkan pengendali penerbangan.

Bagaimanapun, beliau memohon penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan skim subsidi ini, khususnya bagaimana ia digunakan dalam menetapkan harga tiket penerbangan serta contoh penyaluran subsidi bagi satu perjalanan dari kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya mempertimbangkan pemberian subsidi atau diskaun tiket penerbangan kepada pesara anggota polis dan tentera sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka terhadap negara. Sebagai perbandingan, beliau memetik inisiatif KTM Berhad yang menawarkan diskaun tambang kepada Veteran ATM berpencen dan isteri mereka.

Selain itu, Chiew turut mencadangkan agar subsidi dan diskaun tiket penerbangan diberikan kepada warga emas Sabah dan Sarawak yang berulang-alik ke Semenanjung, dengan mengambil contoh pelaksanaan di wilayah seperti Jeju di Korea Selatan yang menawarkan potongan harga khas kepada penduduk tempatan.

Mengulas mengenai program Subsidi Tiket Penerbangan FlySiswa, beliau memuji usaha kerajaan membantu mahasiswa Sabah dan Sarawak yang melanjutkan pengajian di IPTA di Semenanjung serta sebaliknya.

Namun, beliau berharap agar program ini turut diperluaskan kepada pelajar IPTS supaya lebih ramai golongan pelajar dapat menikmati manfaat sama.

Dalam isu Subsidi Musim Perayaan pula, beliau mencadangkan agar program ini diumumkan lebih awal atau dijadikan sebagai program tahunan tetap bagi memudahkan rakyat membuat perancangan perjalanan, memandangkan harga tiket sering meningkat menjelang musim perayaan dan ramai yang tidak pasti sama ada kadar tetap akan diteruskan.

Chiew juga membangkitkan masalah kelewatan penerbangan melibatkan AirAsia yang masih kerap berlaku, terutamanya bagi penerbangan waktu malam.

Beliau berkata, walaupun syarikat berkenaan sebelum ini memaklumkan penambahan pesawat akan membantu mengurangkan kelewatan, situasi sebenar masih belum menunjukkan perubahan ketara.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan agar memperhebat kerjasama dengan AirAsia bagi mempercepatkan proses penambahbaikan dan memastikan masalah kelewatan penerbangan dapat ditangani dengan lebih berkesan demi keselesaan dan kepuasan penumpang.

Perbahasan tersebut mencerminkan komitmen Ahli Parlimen Miri dalam memperjuangkan akses pengangkutan udara yang lebih adil, efisien dan mesra rakyat, khususnya untuk penduduk di kawasan luar bandar dan wilayah Borneo.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Rakyat akan terbeban jika pelancongan keterlaluan – Abdul Karim 
Next: TH jelaskan kadar penolakan tawaran haji 50 peratus merujuk musim lepas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.