
LAWAS: Kekosongan jawatan pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas serta kekurangan guru di beberapa sekolah dalam Parlimen Lawas menjadi isu utama yang telah dibawa terus kepada Kementerian Pendidikan (KPM) oleh Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong.
Dato Henry mengakui bahawa Daerah Lawas masih menghadapi cabaran besar dalam menyediakan tenaga pengajar yang mencukupi, termasuk kekosongan jawatan pengetua di SMK Lawas selepas pengetua terdahulu, Tuah Adis yang bersara baru-baru ini.
“Saya telah kemukakan perkara ini secara langsung kepada KPM di Putrajaya dan pegawai saya sedang memantau susulan tindakan kementerian,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Henry menegaskan, isu kekurangan guru dan kelewatan pengisian jawatan pentadbiran bukan sahaja memberi kesan kepada prestasi sekolah, malah boleh menghambat aspirasi kerajaan untuk memartabatkan pendidikan berkualiti di Sarawak dan seluruh negara.
Lebih membimbangkan, projek pembinaan sekolah baru SMK Lawas di kawasan Banting juga dilaporkan terbengkalai sejak tahun lalu, sekali gus menimbulkan kerisauan terhadap keselamatan pelajar yang masih belajar di bangunan lama yang semakin uzur.
“Saya terima banyak rungutan daripada ibu bapa dan penduduk setempat mengenai status pembinaan ini. Kami menyeru pihak bertanggungjawab untuk segera mengambil tindakan menyelesaikan kelewatan ini demi keselamatan dan keselesaan anak-anak kita,” tambahnya.
Dengan penekanan kepada pendidikan sebagai tonggak masa depan generasi muda, Dato Henry Sum berharap pihak kementerian dan agensi berkaitan akan mempercepatkan penyelesaian bagi memastikan kualiti pendidikan di Lawas terus terpelihara.
Oleh Adeng Edrus