
LAWAS: Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, meminta semua agensi yang terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) supaya mempertingkatkan tahap persediaan menghadapi banjir.
“Kini kita menerima hujan hampir setiap petang di Lawas dan perlu bersedia, terutamanya agensi kerajaan yang terlibat dalam JPBD.
“Kita tidak mahu berlaku keadaan kelam-kabut pada saat akhir, dan saya telah mengarahkan semua jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan, Ketua Masyarakat, dan Ketua Kaum (KMKK) untuk turut sama memberikan laporan terkini sekiranya berlaku banjir di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui di pejabat Pusat Khidmat Parlimen Lawas hari ini.
Pada masa sama, beliau meminta penduduk di kawasan rendah supaya bersiap sedia membawa barangan berharga dan dokumen penting apabila diarahkan berpindah ke mana-mana pusat pemindahan sementara.
Selain kejadian banjir, Henry Sum juga mahu kawasan berbukit sentiasa dipantau kerana tanah runtuh boleh berlaku tanpa sebarang amaran.
“Kita perlu sama-sama memantau kawasan berbukit dan laluan di cerun-cerun bukit, terutamanya di kawasan tanah tinggi Ba’kelalan yang berisiko berlaku tanah runtuh.”
“Kita juga memohon pihak bertanggungjawab memastikan semua saliran tidak tersumbat bagi mempercepatkan aliran air keluar ke laut,” ujarnya.
Setakat ini, katanya, paras air di Sungai Lawas dan Batang Trusan masih pada tahap biasa, kecuali di kawasan daerah kecil Sundar yang terletak di bawah paras laut, berdepan masalah kenaikan air yang cepat.
Oleh Adeng Edrus