
SEBUYAU: Pembangunan modal insan merupakan antara pemacu utama di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan memerlukan kerjasama berterusan daripada semua pihak, kata Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Menurut beliau, sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah perlu dipertingkatkan agar lebih interaktif dan selari dengan keperluan pembelajaran masa kini.
“Sehubungan itu, saya telah menyumbangkan sebanyak 26 unit televisyen pintar (Smart TV) bernilai RM60,814 untuk menyokong penggunaan teknologi digital dalam bilik darjah di sekolah-sekolah menengah dalam kawasan Parlimen Batang Lupar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Perkampungan Ilmu Salam 4.9 anjuran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau yang berlangsung di Dewan Pembangunan Sebuyau, semalam.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sebuyau bagi pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti sekolah, selain sumbangan RM9,000 bagi penganjuran bengkel serta tuisyen, dan insentif kepada 51 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, dengan penyerahan Televisyen Pintar itu kesemua kelas di empat sekolah menengah dalam Parlimen P.201 Batang Lupar iaitu SMK Lingga, SMK Pusa, SMK Beladin dan SMK Sebuyau kini telah lengkap dengan kemudahan tersebut.
“Harapan saya, usaha ini dapat menyokong pencapaian akademik pelajar, termasuk membantu SMK Sebuyau mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 4.9 dalam keputusan SPM akan datang. Semoga ia memberi manfaat kepada pembangunan sahsiah dan kecemerlangan pelajar,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman