
KUALA LUMPUR: Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar), menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada sektor pendidikan, pertanian, perikanan dan keselamatan komuniti bagi kawasan Parlimen Batang Lupar dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal dilaksanakan.
Dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri bahawa sektor pendidikan bakal menerima peruntukan besar berjumlah RM67 bilion, lebih 10 peratus daripada keseluruhan peruntukan RMK13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Mohamad Shafizan menyokong usaha mewajibkan pendidikan awal kanak-kanak seawal usia lima tahun serta memperluaskan kemudahan prasekolah di luar bandar, selain menekankan keperluan melengkapkan bilik darjah dengan teknologi interaktif seperti papan pintar, peralatan audio visual dan perisian digital.
“Pendedahan awal anak-anak kepada teknologi kecerdasan buatan perlu diberi perhatian. Saya berterima kasih kepada Menteri Pendidikan yang turun padang ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Sebangan, di mana kerja awalan di SMK Sebuyau sudah bermula.
“Saya juga menggesa gantian penuh SK Tuanku Bagus di Sebuyau kerana keadaannya yang tidak kondusif,” tegasnya.
Mohamad Shafizan mendedahkan masih wujud situasi di Sarawak di mana pelajar tahun dua dan tahun tiga, serta tahun empat dan tahun lima, terpaksa berkongsi kelas akibat kekurangan bilik darjah, seterusnya menyebabkan sekolah dua sesi semakin bertambah setiap tahun.
“Masalah ini perlu diatasi segera dengan membina blok tambahan baharu. Kekurangan guru juga perlu diselesaikan melalui pengambilan berdasarkan keperluan sebenar subjek di sekolah, bukannya sekadar pengisian jawatan umum,” ujarnya.
Mengulas pembangunan sukan, beliau mencadangkan agar sebuah Sekolah Sukan Malaysia diwujudkan di Sarawak bagi melahirkan atlet cemerlang seperti Dato’ Pandalela Rinong dan Bryan Nickson Lomas. Ketika ini, hanya lima sekolah seumpamanya beroperasi di seluruh negara.
Menyentuh sektor pertanian, Mohamad Shafizan memaklumkan Batang Lupar menjadi lokasi Program SMART Sawah Berskala Besar pertama di Sarawak bagi meningkatkan pengeluaran padi dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import.
Beliau turut menggesa penyaluran peruntukan bagi menyediakan infrastruktur sokongan dan sistem pengairan di kawasan IADA Batang Lupar, serta menambah kemudahan jeti pendaratan dan perumahan nelayan.
“Kompleks Perikanan LKIM Beladin juga perlu dilengkapi kemudahan bilik sejuk beku dan pusat penjualan diesel bersubsidi kerana ia nadi operasi perikanan,” tambahnya.
Beliau turut mencadangkan pembinaan Kolej TVET dan Pusat Latihan dalam bidang pertanian dan perikanan di Batang Lupar bagi menarik minat golongan muda.
Dalam aspek keselamatan, Mohamad Shafizan menekankan keperluan pemeriksaan berkala pili bomba, latihan kebakaran (fire drill) dan penambahbaikan balai serta kuarters polis dan bomba.
Beliau turut menuntut kepastian status kelulusan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Pusa di bawah RP1 RMK13, serta menggesa penambahan sebuah lagi balai bomba di Daerah Sebuyau bagi mengatasi masalah jarak respons yang kini mencecah hampir sejam perjalanan.
Oleh Adi Safarman