MIRI: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) meneruskan program pemeriksaan kesihatan untuk ahlinya bagi tahun 2021.
Presidennya ,Andy Jong Wan Joon, berkata, bagi tahun ini NSJA telah mengambil inisiatif membenarkan ahlinya menuntut elaun pengambilan pemeriksaan ujian saringan Covid-19.
“Sebelum ini penuntutan elaun ahli dihadkan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi (Hepatitis A / B serta lain vaksin) sahaja ,tahun ini NSJA mengambil keputusan menambah baik untuk membenarkan menuntut elaun menjalani ujian saringan Covid-19.
“Setiap ahli hanya dibenarkan menuntut sekali sahaja dalam setahun dengan jumlah maksimum RM200 sama ada untuk pengambilan, pemeriksaan kesihatan,vaksinasi (Hepatitis A / B serta lain vaksin) ataupun ujian saringan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin di Pusat Khidmat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) DUN Senadin di sini, semalam.
Andy berkata, pemberian elaun pemeriksaan kesihatan pada mula dilaksanakan sejak 2016 dengan pembayaran maksimum RM100 untuk setiap dua tahun sekali dan kini ditambah baik iaitu maksimum RM200 sekali setahun mulai 2019.
“Ahli persatuan hanya perlu menunjukkan resit rasmi pengambilan pemeriksaan kesihatan kepada NSJA untuk menuntut pembayaran balik elaun sehingga maksimum RM200 dalam satu resit.
“Elaun ini boleh ditebus dengan menggunakan resit rasmi dari mana-mana makmal atau pusat perubatan di mana mereka melakukan pemeriksaan,”jelasnya.
Tambannya, resit boleh dituntut mulai dari tarikh 1 Januari hingga 31 Disember pada tahun ini.
“Bagi mereka yang melakukan ujian melebihi RM200, mereka perlu membayar caj tambahan,” jelas Andy.
Jelas Andy, NSJA berterima kasih kepada Datuk Lee Kim Shin kerana memberi sokongan penuh terhadap program kebajikan ini dengan menyumbangkan sebanyak RM10,000 setiap tahun sejak 2018.
NSJA ditubuhkan pada tahun 1974 dan kini mempunyai lebih 90 ahli yang terdiri daripada pengamal media cetak yang mewakili akhbar Melayu, Inggeris dan Cina serta wakil media elektronik yang ditempatkan di bahagian utara Sarawak.
Oleh LIONG CHAI LING