LIMBANG: Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) merupakan inisiatif strategik kerajaan bagi mentransformasikan sektor pertanian luar bandar dengan meningkatkan kemahiran, produktiviti dan sosioekonomi pekebun kecil, petani serta penternak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata program berkenaan turut memberi peluang kepada petani meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesedaran mengenai penggunaan teknologi pertanian moden.
“Jadi, itulah tujuan AgriCOP. Hari ini mereka berkumpul sejak pagi untuk mengikuti kursus, antaranya berkaitan pemulihan dusun durian, penggunaan baja oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), penternakan ikan air tawar dan pemprosesan sos cili.
“Saya mengucapkan tahniah kepada lebih 100 peserta yang mengikuti kursus ini dan berharap ilmu yang diperoleh dapat dipraktikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Dewan Kampung Reda, di sini, semalam.
Menurut Abdul Rahman, penanaman kelapa sawit kekal menjadi antara pemangkin utama dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, terutama dengan harga komoditi itu yang dijangka kekal stabil dan meningkat.
Dalam pada itu, katanya, Sarawak turut memberi tumpuan kepada empat tanaman utama iaitu durian, kelapa, nanas dan pisang.
“Setiap tanaman ini disasarkan melibatkan kawasan seluas 20,000 hektar, termasuk usaha meningkatkan penanaman padi sebagai langkah strategik untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan pendapatan sektor pertanian negeri,” katanya.
ADUN Bukit Kota itu berkata, berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak menyasarkan untuk menjadi pengeksport makanan bersih menjelang 2030 menerusi pemerkasaan sektor pertanian komersial.
Katanya, penurunan Tahap Sara Diri (SSL) beras Sarawak kepada sekitar 21 peratus ketika ini merupakan antara cabaran besar yang sedang ditangani secara agresif.
“Pada masa sama, kita menyasarkan untuk meningkatkan SSL padi dan beras kepada 60 peratus menjelang 2030,” katanya.
Oleh Adeng Edrus




