TATAU: Masyarakat rumah panjang di kawasan Ulu Anap digalakkan mempelbagaikan aktiviti pertanian dengan mengusahakan tanaman berpotensi tinggi sebagai sumber pendapatan tambahan kepada keluarga.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, berkata selain kelapa sawit, tanaman seperti terung asam dan kopi mempunyai potensi untuk diusahakan secara komersial.
Menurut beliau, terung asam khususnya boleh diusahakan secara berkelompok oleh penduduk rumah panjang kerana mempunyai nilai pasaran yang baik, sekali gus berpotensi menjadi sumber pendapatan kepada komuniti.
“Kelapa sawit sememangnya memberikan sumber pendapatan kepada penduduk, namun kita juga boleh mengusahakan tanaman lain untuk menambah pendapatan, antaranya terung asam dan kopi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan dan Perasmian Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) yang berlangsung di Rumah Siba, Nanga Setengin, Ulu Anap, di sini, semalam.
Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pelaksanaan AgriCOP penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pekebun, khususnya berkaitan penjagaan tanaman bagi memastikan hasil yang diperoleh adalah optimum.
Katanya, pengurusan tanaman yang baik perlu diberi perhatian supaya hasil pengeluaran yang diperoleh setimpal dengan keluasan kebun serta jumlah tanaman yang diusahakan.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengembangan Jabatan Pertanian Sarawak, Freddy Paul Giang, berkata program yang berlangsung selama dua hari itu disertai kira-kira 150 peserta daripada 16 rumah panjang.
Menurut beliau, program berkenaan memberi fokus kepada usaha menggalakkan masyarakat rumah panjang menceburi bidang pertanian secara komersial menerusi pendedahan kepada ilmu dan kemahiran berkaitan pertanian.

“Antara pengisian program termasuk perkongsian berkaitan tanaman kelapa sawit, teknik cantuman tanaman dan penghasilan kordial terung asam,” katanya.
Beliau berkata, aspek berkaitan perlesenan ikan turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada pengisian program bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkara berkaitan aktiviti perikanan dan sumber perikanan.
Program berkenaan diharap dapat membantu komuniti rumah panjang meningkatkan pengetahuan serta mengenal pasti peluang dalam bidang pertanian yang berpotensi untuk dikembangkan sebagai sumber pendapatan.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong, Roselind Anyi yang mewakili Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu, Pegawai Pertanian Daerah Tatau Joseph Mawan serta Penghulu Enteri Anak Aju.
Oleh Faizah Muzidi




