KUCHING: Kerajaan Sarawak telah melaksanakan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) untuk merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara Jabatan Pertanian dan golongan keluarga tani terutamanya di kawasan pendalaman.
Program pengembangan Agriculture Community Outreach (AgriCOP) seperti ini akan dipergiatkan lagi agar lebih ramai penduduk di pendalaman mendapat manfaat daripada program seperti ini.
Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan berharap dengan adanya AgriCOP lebih ramai petani yang dapat meningkatkan hasil pertanian mereka. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil.
“Kita mengharapkan agar lebih ramai golongan keluarga tani terlibat dalam program seperti ini supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan sekali gus mepertingkatkan taraf hidup.
“Pembangunan pertanian di kawasan pendalaman perlu dilaksanakan secara berkelompok supaya pembangunan infrastruktur ladang seperti jalan ladang dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, seterusnya dapat menyenangkan pengangkutan hasil-hasil pertanian ke pasaran kawasan Mambong,” Katanya.
Beliau berkata, Jabatan Pertanian di sini juga telah mengenalpasti kopi sebagai tanaman fokus di kawasan ini.
“Kawasan Mambong ini menpunyai banyak tanah pertanian yang masih belum dibangunkan lagi, perancangan telah dibuat untuk membangunkan tanaman kopi secara berkelompok dan dianggarkan lebih daripada 3,000 hektar tanah di kawasan Mambong sesuai untuk tanaman ini.”
“Selain itu, tanaman secara berkelompok seperti kluster kopi ini amat memerlukan kemahiran dan pengetahuan teknikal pertanian yang kukuh supaya hasil tanaman tersebut dapat mengelurkan hasil seperti yang dijangkakan.
“Kita juga mengharapkan para petani di kawasan Mambong mengambil peluang ini untuk memajukan industri pertanian kerana pasaran sayur-sayuran dan buah-buahan masih tidak mencukupi dan belum memenuhi permintaan pasaran,” Jelasnya.
Seramai 200 peserta telah hadir ke program AgriCOP kali ini yang terdiri daripada komuniti Biya dari pelbagai kampung, antaranya Kampung Biya Jamir, kampung Nusaraya, Kampung Semban, kampun Rejoi, Kampung Pain Bojong dan Kampung Taba Sait serta termasuklah semua Ketua Masyarakat dari Daerah Kecil Padawan.
Program ini merupakan inisiatif oleh kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian Sarawak untuk mengembangkan aktiviti-aktiviti pertanian di Sarawak dan memberikan pendedahan secara langsung kepada golongan sasar mengenai perkembangan pertanian terkini.
Oleh Jeakqleyn Yacho