KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Seri Paduka di Istana Negara secara individu pada jam 10.30 pagi esok.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata ia lanjutan daripada sesi menghadap baginda oleh ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di Istana Negara, hari ini.
Beliau berkata proses itu adalah bertujuan supaya Al-Sultan Abdullah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seri Paduka turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.
Al-Sultan Abdullah turut mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.
Terdahulu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara setelah tiada Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu, menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.
— BERNAMA