
JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu turut dihadiri Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
BN meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan semalam dengan berjaya memperoleh 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dipertandingkan.
Daripada 48 DUN dimenangi oleh BN pada PRN Johor semalam, 36 dimenangi calon-calon UMNO, lapan MCA dan empat MIC.
Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kesemua 56 DUN dipertandingkan hanya memenangi lapan DUN manakala Perikatan Nasional (PN), Bersama, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Bebas gagal meraih sebarang kemenangan. – Bernama