Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Agong tegaskan hak negeri Sabah dan Sarawak perlu dihormati mengikut MA63
  • NASIONAL

Agong tegaskan hak negeri Sabah dan Sarawak perlu dihormati mengikut MA63

Utusan Sarawak 5 hours ago
YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara, hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermula tahun ini perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat khususnya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

Bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara di sini hari ini, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa sistem pendidikan perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara.

“Jika hendak buat sistem pendidikan yang baharu, ia mesti dibuat selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, dan Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah Bahasa Kebangsaan.

“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain mesti terima Bahasa Melayu dan sejarah Malaysia… kalau ada yang tidak terima Bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari dengan tumpuan utama ialah perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen yang dijadual bermula esok hingga 29 Jan diikuti jawapan kementerian berkaitan selama empat hari bermula 4 Feb ini.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut bertitah mengingatkan bahawa asas pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.

“Kita sewajarnya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia iaitu perpaduan dan hormat-menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan kerajaan Persekutuan,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat agar lebih berhati-hati supaya tidak menghasut sehingga mencetuskan ketegangan antara wilayah sebaliknya menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan secara matang tanpa kebencian atau syak wasangka.

Titah Seri Paduka Baginda, hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati namun kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah diutamakan.

Seri Paduka Baginda dalam titah tersebut turut menyentuh kepentingan mewujudkan undang-undang berhubung keselamatan negara dan ancaman luar adalah wajar bagi memastikan keharmonian antara semua kaum serta kedaulatan negara terus terpelihara.

Seri Paduka Baginda bertitah ini kerana wujudnya ancaman moden terhadap keselamatan digital, integriti maklumat dan teknologi deep-fake yang mampu membuka ruang kepada kes penipuan serta menggugat kestabilan sosial.

Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa ancaman jenayah berat dan keganasan serta perbuatan yang menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) hendaklah ditangani dengan berkesan.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkukuh rangka undang-undang berkaitan pilihan raya, institusi demokrasi dan pendanaan politik.

“Ini termasuk usaha untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengenalan Akta Kebebasan Maklumat, dan institusi ombudsman,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat agar setiap perbahasan, keputusan dan undian di Dewan berkenaan dilaksanakan dengan penuh amanah kerana ia bakal menentukan masa depan negara.

“Oleh itu, laksanakan tugas ini dengan penuh amanah, bijaksana dan bertanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat,” titah Seri Paduka Baginda. Yang di-Pertuan Agong menutup titah dengan menggesa semua pihak berdoa agar Malaysia terus maju dan makmur, aman damai serta rakyat menikmati kehidupan yang sempurna, bahagia dan sejahtera.- Bernama

Continue Reading

Previous: Petronas lantik Mohd Jukris sebagai ketua pegawai operasi mulai 1 Februari

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.