KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang diuji musibah termasuk bencana banjir.
“Kita bantu mana yang boleh… saya mengucapkan terima kasih kepada mereka dan semua agensi yang banyak membantu,” titah Seri Paduka Baginda kepada pemberita semasa berkenan mencemar duli menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama (SRA) Ubudiah Al-Jariah di Taman Guru di sini, semalam.
Selain PPS itu, Al-Sultan Abdullah yang diiringi anakanda Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah turut berkenan menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Rendang dan PPS Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di sini.
Al-Sultan Abdullah juga berdoa supaya bencana banjir segera pulih dan mengharapkan mereka yang terkesan bersabar menghadapi ujian tersebut.
Pada kunjungan itu, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan bantuan barangan keperluan makanan, keperluan penjagaan diri dan kelengkapan solat kepada semua mangsa.
Banjir di Pahang bermula pada petang Isnin (6 Feb) melibatkan daerah Kuantan dan Pekan, ekoran hujan lebat yang berlarutan sejak malam sebelumnya, dengan jumlah keseluruhan mangsa ialah 5,160 orang. Banjir bagaimanapun mulai surut sejak semalam.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga menambah bantuan dan doa juga perlu dipanjangkan kepada rakyat di Turkiye dan Syria yang diuji dengan tragedi gempa bumi kuat yang melanda di negara tersebut baru-baru ini.
“Harap kita dapat berdoa dan solat hajat supaya memberi sedikit sebanyak rahmah kepada mereka yang kehilangan nyawa. Kita amat sedih dengan kejadian yang berlaku di sana,” titah Seri Paduka Baginda.
Sementara itu, Nur Krisya Roslan, 26, semasa ditemui melahirkan rasa syukur kerana sumbangan yang diterima sangat membantu meringankan beban kewangan dihadapinya, memandangkan suaminya tidak dapat bekerja sejak banjir berlaku.
“Suami bekerja sendiri dengan upah harian. Hari ini baru dia boleh bekerja kerana semalam, seharian kami membersihkan rumah memandangkan air baru surut,” katanya yang berpindah ke PPS SRA Ubudiah Al-Jariah pada petang Isnin.
Kakitangan kerajaan Fadie Abdullah, 43, pula berkata pengurusan banjir di PPS KKTM adalah baik dan teratur dengan semua agensi kerap bertanya keadaan mereka empat beranak supaya selesa walaupun berada di PPS.
Banjir kali ini, menurut beliau menyebabkan rumahnya di Batu Enam di sini, dinaiki air setinggi paras paha, namun beliau bersyukur kerana amaran awal yang dikeluarkan agensi berkaitan membolehkan beliau membuat persiapan awal.
“Saya dapat mengemas dokumen penting dan mengalihkan kereta ke tempat selamat walaupun air naik agak cepat… berbanding sebelum ini, kereta turut menjadi mangsa,” katanya. – Bernama