KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua calon dan penyokong parti politik supaya mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bermula dari hari penamaan calon pada 5 November.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka turut menasihatkan calon agar bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh tersebut hingga hari mengundi pada 19 November.
“Seri Paduka mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh para calon dan penyokong mereka. Jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen.
“Seri Paduka menzahirkan bahawa sifat-sifat tersebut adalah tidak bertepatan dengan nilai-nilai murni. Sifat-sifat tersebut juga bukan sahaja tersasar daripada landasan kemanusiaan yang sebenar, malah boleh mencetuskan kekacauan serta keadaan huru-hara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Fadil berkata pada hemat Yang di-Pertuan Agong, kerjasama baik dari semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata, Seri Paduka turut mengajak seluruh rakyat bersama mendoakan semoga perjalanan PRU-15 lancar dan selamat.
“Semoga rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.
Semalam, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali di Istana Negara.
Semasa sesi menghadap itu, Seri Paduka berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan pihak PDRM dan agensi yang berkait bagi tempoh perjalanan PRU-15 dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota.
SPR hari ini mengumumkan 19 November sebagai tarikh pengundian bagi PRU-15 manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.
Pelaksanaan pilihan raya itu akan melibatkan peringkat Parlimen di seluruh negara dan negeri yang telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perak, Pahang dan Perlis. Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah. – Bernama