
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga kerja di negara ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah hari ini negara menghargai dedikasi dan komitmen pekerja yang menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Setiap titik peluh yang dicurahkan adalah asas kepada pembangunan yang kita nikmati pada hari ini. Terima kasih atas jasa anda semua,” titah Seri Paduka Baginda.
“Pekerja Kesuma Bangsa” dipilih sebagai tema Hari Pekerja 2025 dengan sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini dihadiri lebih 10,000 pekerja awam dan swasta daripada pelbagai sektor. – Bernama