KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan menjalani rawatan susulan kesakitan musculoskeletal (melibatkan otot dan tulang) pada bahagian belakang serta pinggul, menurut Istana Negara.
Dalam kenyataan hari ini, Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat sebelum menjalani rawatan susulan bagi memberikan ruang kepada proses pemulihan.

“Justeru, Seri Paduka Baginda tidak berangkat ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, yang berlangsung hari ini (31 Julai),” menurut kenyataan itu.
Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Negara 2026 berlangsung pagi ini, dan dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail.- Bernama




