
SARATOK: Penganjuran program agihan ‘penganan’ kepada orang ramai dilihat sebagai platform terbaik untuk menyatupadukan hubungan silaturahim masyarakat yang pelbagai di Sarawak.
Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom berkata aktiviti seumpamanya juga tidak harus hanya dilakukan semasa perayaan-perayaan di Sarawak dan tidak hanya tertumpu kepada ketika sambutan Hari Gawai Dayak sahaja.
“Pada pendapat saya, penganjuran aktiviti atau program agihan penganan ini amat baik dalam usaha kita menyatupadukan rakyat yang pelbagai di Sarawak.
“Penganjurannya harus diperkasakan lagi selepas ini termasuk pada perayaan-perayaan lain dan tidak hanya dilakukan pada sambutan Hari Gawai Dayak sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program agihan ‘penganan’ anjuran bersama Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Saratok dekat sini semalam.

Jelasnya, penganjuran program seumpamanya juga dilihat sebagai langkah terbaik untuk memelihara dan mengekalkan kesinambungan kuih tradisi yang menjadi kebanggaan dan identiti kaum Iban itu.
Katanya, ini juga bagi memastikan gastronomi pembuatan penganan dapat dikekalkan daripada pudar ditelan zaman untuk tatapan generasi akan datang.
Sebanyak 600 paket penganan telah berjaya diedarkan di sepanjang tempoh program berlangsung di depan Rumah Dayak Saratok itu yang turut menyaksikan sambutan mengalakkan daripada orang ramai di sekitar Pekan Saratok.
Oleh Adi Safarman