KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memutuskan untuk membuka penempatan pegawai perubatan siswazah (PPS) baharu bagi lantikan siri ketiga ke beberapa lagi hospital lain selain daripada hospital negeri. Keputusan ini dibuat memandangkan peratus pengisian slot PPS tersebut telah bertambah baik. Tawaran penempatan ini dilaksanakan menerusi sistem e-houseman pada 13 Mei 2024 yang melibatkan 792 orang calon.
Sebelum ini, KKM telah memutuskan pada awal tahun ini agar penempatan dibuka kepada hospital negeri sahaja disebabkan pelantikan PPS didapati semakin menurun dan pengisian slot PPS di hospital negeri juga berkurangan. Sehingga April 2024, KKM telah melaksanakan dua (2) siri lantikan baharu PPS yang melibatkan seramai 701 orang pada siri lantikan pertama, dan 803 orang pada siri lantikan kedua.
Bagi siri lantikan seterusnya, penempatan PPS di hospital-hospital lain akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa berdasarkan bilangan calon yang diterima daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta faktor-faktor lain yang berkaitan.
KKM amat memahami cabaran yang dihadapi oleh petugas kesihatan di seluruh negara dalam menghadapi peningkatan bebanan kerja. Beberapa langkah jangka pendek dan jangka panjang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini.
Susulan itu, pada bulan Mei juga, sejumlah 747 pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan siswazah telah ditempatkan ke semua negeri bagi menampung kekurangan pegawai perubatan sedia ada.
Tujuan latihan yang diberikan kepada PPS sewaktu penempatan adalah supaya mereka mendapat pendedahan dan latihan klinikal yang mencukupi. Ini penting agar mereka mampu memberi perkhidmatan yang berkualiti serta dapat mengamal dengan selamat.
KKM turut mengarahkan semua Pengarah Hospital untuk memastikan kebajikan semua petugas kesihatan terpelihara walaupun tahap pengisian PPS di hospital-hospital masih dalam proses penambahbaikan. – Bernama