Agihan pendapatan ASSAR naik kepada 6.5 sen seunit bagi tahun kewangan 2026

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
 PREMIER Sarawak berucap pada Majlis Pengumuman Agihan Pendapatan ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching.

KUCHING: Amanah Saham Sarawak (ASSAR) mengumumkan agihan pendapatan 6.5 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, meningkat daripada 6.0 sen seunit pada tahun sebelumnya, dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM34.35 juta yang akan memberi manfaat kepada 57,926 pemegang unit.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, agihan berkenaan merangkumi agihan interim sebanyak 3.0 sen seunit yang telah dibayar pada 16 Februari lalu, manakala baki 3.5 sen seunit akan dibayar sebelum penghujung Julai ini kepada pemegang unit yang berdaftar setakat 30 Jun 2026.

PREMIER Sarawak menerima cenderamata penghargaan dan bergambar bersama Pengerusi Permodalan ASSAR Sdn Bhd (PASB) yang juga Pengerusi Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB), Dato Sri Wahab Dolah, serta barisan Ahli Lembaga Pengarah ASSB dan kumpulan syarikat berkaitan pada Majlis Pengumuman Agihan Pendapatan ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching.

“Pencapaian itu mencerminkan prestasi kukuh ASSAR walaupun dana berkenaan beroperasi dalam persekitaran ekonomi global yang masih mencabar serta dipengaruhi ketidaktentuan pasaran.

“Sejak penstrukturan semula ASSAR pada penghujung 2022, dana itu berjaya mengagihkan pendapatan secara konsisten setiap enam bulan bermula Januari 2024 dengan jumlah agihan terkumpul kini mencecah RM72.09 juta.

“Prestasi ini membuktikan keberkesanan strategi pelaburan yang berhemat serta keyakinan berterusan masyarakat Bumiputera Sarawak terhadap ASSAR sebagai instrumen pelaburan yang selamat dan berisiko rendah,” katanya.

PREMIER Sarawak bergambar bersama Pengerusi Permodalan ASSAR Sdn Bhd (PASB) yang juga Pengerusi Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB), Dato Sri Wahab Dolah, serta barisan Ahli Lembaga Pengarah ASSB dan kumpulan syarikat berkaitan selepas Majlis Pengumuman Agihan Pendapatan ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Agihan Pendapatan ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, hari ini.

Mengulas lanjut, pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, ASSAR merekodkan peningkatan 33 peratus dalam pendapatan kasar direalisasikan kepada RM51.02 juta, berbanding RM38.39 juta pada tahun sebelumnya.

“Selepas mengambil kira perbelanjaan sebanyak RM8.12 juta, dana itu mencatatkan pendapatan bersih RM42.90 juta, meningkat 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.

 AGIHAN pendapatan ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026.

“Keuntungan direalisasikan daripada pelaburan ekuiti menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan kasar dengan nilai RM24.69 juta atau 48 peratus, diikuti pendapatan faedah daripada sekuriti pendapatan tetap sebanyak RM16.64 juta atau 33 peratus.

“Baki RM9.69 juta atau 19 peratus lagi disumbangkan melalui pendapatan dividen, faedah instrumen pasaran wang serta keuntungan direalisasikan daripada pelupusan sekuriti pendapatan tetap,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Nilai Aset Bersih (NAB) ASSAR meningkat kepada RM617.31 juta atau RM1.13 seunitsetakat 30 Jun 2026, berbanding RM542.76 juta atau RM1.12 seunit pada tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah unit dalam edaran turut meningkat kepada 546.08 juta unit berbanding 484.05 juta unit pada penghujung tahun kewangan sebelumnya.

“Sehingga 30 Jun 2026, ASSAR mempunyai pendapatan boleh agih sebanyak RM39.65 juta dan selepas memperuntukkan RM19.11 juta bagi pembayaran agihan akhir, baki RM20.54 juta akan dikekalkan sebagai rizab pendapatan, meningkat 71 peratus berbanding RM11.99 juta pada tahun sebelumnya,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari memaklumkan kerajaan negeri telah meminta pihak pengurusan ASSAR mengkaji pendekatan serta produk pelaburan baharu bagi memperluaskan peluang pelaburan kepada rakyat Sarawak selaras dengan pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai rakyat, khususnya golongan muda, untuk memanfaatkan ASSAR sebagai platform pelaburan jangka panjang serta sentiasa mengemas kini maklumat peribadi masing-masing bagi memastikan proses pembayaran agihan pendapatan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Turut hadir, Pengerusi Permodalan ASSAR Sdn Bhd (PASB) yang juga Pengerusi Amanah Saham Sarawak Berhad (ASSB), Dato Sri Wahab Dolah serta barisan Ahli Lembaga Pengarah ASSB dan kumpulan syarikat berkaitan.

Oleh Masrin Affirah