
SARATOK: Program Agihan Bubur Lambuk ‘Care for You’ anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Saratok bersama Jawatankuasa Sehenti (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Daerah Saratok berlangsung meriah di Dewan Pejabat Daerah Saratok, petang tadi.
Program tersebut bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan, malah turut menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi pemberian sumbangan beras serta sampul raya kepada golongan asnaf yang hadir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata penganjuran program seumpama itu amat bermakna kerana ia bukan sahaja memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat, malah turut menjadi platform untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat.
Menurut beliau, program tahunan yang dianjurkan oleh PEMADAM Daerah Saratok bersama Jawatankuasa OSC MIDS itu juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej kesedaran mengenai bahaya dadah kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan yang turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan, pegawai kerajaan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari Daerah Kabong, Kalaka dan Krian, ahli Majlis Daerah Saratok serta golongan asnaf.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Ketua Kampung Ustaz Mohammad Alzam Ali sebelum diteruskan dengan ucapan aluan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid.
Dalam ucapannya, Mohamad Duri turut berkongsi perkembangan mengenai pelbagai perancangan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di Daerah Saratok bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Saratok serta PEMADAM atas kejayaan menganjurkan program yang disifatkannya sebagai penuh bermakna dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Pada majlis tersebut, turut diadakan simbolik penyerahan bubur lambuk kepada ketua-ketua jabatan, Masjid Al Muhtadin, Majlis Daerah Saratok serta wakil Ketua Masyarakat kaum Melayu dan Cina sebelum majlis berbuka puasa atau iftar dilangsungkan.
Oleh Adi Safarman