KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian pasaran tenaga bebas, Asia Gas Hub Sdn Bhd (AGH) akan melancarkan platform dagangan gas aslinya, GasX, pada Jun ini sebagai langkah untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat hab gas.
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AGH Faris Mustaffa berkata, Asia merupakan pengimport terbesar untuk gas asli cecair (LNG) dan mencatatkan pertumbuhan terbesar dalam penggunaan gas tetapi rantau ini tidak mempunyai penanda aras gas seperti di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Pasaran gas digital akan membantu Malaysia menjadi lebih efektif dan telus untuk meningkatkan lagi pasaran gas domestik, katanya dan menggesa pihak berkepentingan untuk memainkan peranan mereka.
“Kami percaya pasaran Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi pasaran yang cemerlang berbanding AS dan Eropah. Kami menyediakan penyelesaian untuk menjadikan pasaran tenaga yang lebih cekap dan berkesan.
“Bidang yang kami mahu beri tumpuan ialah menggunakan pendigitalan serta meningkatkan kesedaran dan menyediakan data pasaran dalam pasaran tempatan.
“Kami turut memberi tumpuan kepada menaik taraf keupayaan pengetahuan mengenai gas dan membina ekosistem,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Faris berkata, AGH sedang berunding dengan 17 pemain tempatan dengan lesen perkapalan untuk menjalankan perdagangan di platform itu bagi membolehkan pembeli memiliki dan menghantar gas ke Malaysia.
AGH akan turut membangunkan satu lagi sistem digital yang dinamakan LNGX untuk mengurus dan memudahkan pengimportan LNG yang dijangka dilancarkan pada suku pertama 2024.
“Terdapat cabaran untuk mengimport LNG seperti kos yang tinggi. Tidak ramai yang boleh melakukannya dan penggunaan juga rendah.
“Sistem kami akan dapat menguruskannya. Platform ini akan membolehkan peserta asing mengambil bahagian dalam sistem ini untuk menjalankan perdagangan LNG,” katanya.
Faris berkata dengan GasX dan LNGX, pasaran Malaysia akan lebih mudah diakses oleh pembekal asing dan pembekal tempatan akan mempunyai akses untuk mengimport LNG dan menjalankan perdagangan gas di GasX.
“Pasaran Malaysia akan lebih mudah diakses oleh pembekal lain yang mempunyai pasaran digital.
Gas juga perlu boleh didapati di Malaysia pada harga pasaran yang telus. Ia perlu lebih berdaya saing di rantau ini dan negara akan dapat menarik lebih ramai pelabur,” katanya.
Pelan untuk pasaran digital itu mula diumumkan pada Jun tahun lepas selepas AGH menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) berkaitan pembangunan teknologi untuk pasaran digital.
Sebelum itu, AGH menandatangani MoU dengan Bursa Malaysia Derivatives Bhd untuk mengkaji kemungkinan mewujudkan kontrak niaga hadapan gas asli yang boleh diniagakan di bursa.
“Kerjasama kami dengan Bursa Malaysia kini di peringkat kedua. Kami akan melihat bagaimana untuk bergerak ke hadapan. Bursa Malaysia berminat untuk melaksanakannya.
“Selain itu, kami adalah bursa saham minyak sawit yang terbesar di dunia. Ia mengambil masa yang lama dan usaha daripada semua pihak untuk membinanya. Kami mahu mempercepatkan proses itu melalui pendigitalan,” katanya.
Sementara itu, baru-baru ini, AGH dan Comet mengumumkan bahawa teknologi terkini platform dagangan tenaga, CG Hub, telah dipilih untuk memacu pelancaran GasX AGH pada Jun.
Sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan yang lebih besar untuk membuka pasaran gas asli di Malaysia, AGH akan melaksanakan versi yang bersesuaian untuk CG Hub berfungsi sebagai pasaran untuk pembeli dan penjual antara lainnya berunding dan melaksanakan transaksi bagi gas asli domestik.
“Selepas lebih setahun analisis teknologi global yang boleh didapati untuk projek ini, kami memilih CG Hub sebagai asas untuk pasaran gas kami,” kata Faris. – Bernama