LANGKAH kerajaan Sarawak mewujudkan agensi di peringkat wilayah, sebenarnya langkah berkesan untuk membawa pembangunan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Ia adalah langkah desentralisasi iaitu menurunkan kuasa untuk mempercepatkan projek pembangunan di luar bandar melalui penubuhan sembilan agensi di peringkat wilayah.
Agensi itu adalah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA), Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (MiRRDA) dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
Agensi ini meliputi semua kawasan. Misalnya GKCDA meliputi kawasan dari Lundu hingga Serian, termasuk lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti kaum Bidayuh.
HDA pula untuk kawasan Baram meliputi Bario, Mulu dan Long Lama.
Begitu juga di kawasan pesisir seperti RADDA, kawasan tengah dan hulu Rajang ada MiRRDA dan URDA.
Setiap agensi ini diketuai oleh menteri atau timbalan menteri di kawasan terbabit dengan anggotanya terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan sama.
Mereka bermesyuarat secara berkala, merangka dan mencadangkan projek untuk rakyat di kawasan masing-masing.
Pendekatan ini lebih praktikal daripada merangka program pembangunan dari jauh di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya seperti sebelum ini.
Inilah dinamakan turunkan kuasa atau desentralisasi.
Tidak pasti sejauh mana pembabitan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam aspek ini, sama ada mereka turut serta dalam perbincangan pelan projek untuk dilaksanakan di kampung dan rumah panjang di kawasan masing-masing.
Jika tidak, mungkin elok Temenggong atau Pemanca turut berada sebagai anggota dalam agensi terbabit.
Ketua Masyarakat merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Temenggong, Pemanca, Penghulu, manakala Ketua Kaum pula merujuk kepada pemimpin kawasan tempatan berpangkat Tuai Rumah, Kapitan dan Ketua Kampung.
Pertanyaan ini timbul kerana ada wakil rakyat sebelum ini mengeluh dan tertanya-tanya apa peranan sebenar KMKK berikutan sesetengah mereka dilihat seolah-olah hanya bertindak sebagai penyambut kunjungan VIP apabila datang melawat kawasan tetapi gagal memberi idea pembangunan untuk kampung masing-masing.
Idea ini bagi memudahkan wakil rakyat menilai projek kecil luar bandar sebelum meluluskan peruntukan, tetapi ada kalangan KMKK menyerahkan ‘bulat-bulat’ kepada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sedangkan mereka berdamping dengan rakyat sepanjang masa di kampung dan rumah panjang.
Usaha kerajaan Sarawak ini turut menarik perhatian Kerajaan Pusat apabila tidak berapa lama dulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penubuhan sembilan agensi wilayah itu sebagai usaha memperkasakan kemajuan desa dan wilayah di Sarawak yang harus dipelajari oleh negeri-negeri lain dalam Malaysia.
NEGERI LAIN PERLU CONTOHI
“Ini kerana pewujudan agensi pembangunan itu merupakan ‘game changer’ yang tidak melupakan prinsip-prinsip asas keperluan penduduk di kawasan pedalaman.
Beberapa kemajuan yang telah dibuat oleh wilayah Sarawak sendiri dengan pewujudan lembaga-lembaga ataupun majlis serta agensi-agensi pembangunan di sembilan kawasan di Sarawak ini merupakan perubahan yang harus dipelajari juga oleh negeri lain.
“Justeru, kita perlu berkongsi pendekatan supaya perimbangan di antara penduduk luar bandar, pinggir bandar dan bandar akan dapat diselaraskan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Penyelarasan Antara Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Kuching pada Oktober 2023.
Bayangkan setiap sembilan agensi itu diberi peruntukan RM1.5 bilion untuk digunakan dalam tempoh tiga tahun sebelum dana tambahan diperuntukkan.
Objektifnya adalah untuk membawa masuk infrastruktur luar bandar dan program sosioekonomi yang sangat diperlukan dan untuk mempercepatkan pelaksanaannya.
Misalnya, sebanyak 87 projek berjumlah keseluruhan RM1.525 bilion telah dicadangkan dan mendapat kelulusan Jawatankuasa Pemandu RADDA pada 16 Julai 2024.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh yang juga Pengerusi RADDA, projek tersebut telah diluluskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di atas dokumentasi ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu RADDA.
“Daripada 87 projek tersebut, sebanyak 27 projek telah mendapat kelulusan juruperunding pihak Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) dan empat projek lagi sudah mendapat kelulusan secara kelulusan sebahagian (jururunding survei sahaja).
Sebanyak 12 projek pula melibatkan perunding dalaman oleh agensi pelaksana. Agensi pelaksana ini adalah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kementerian Perindustrian dan juga majlis kerajaan tempatan seperti Majlis Daerah Matu Daro (MDMD), Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) dan Majlis Daerah Sarikei (MDS),” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu RADDA di Sarikei baru-baru ini.
Setiap agensi ini ada keutamaan sendiri selain memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur yang masih diperlukan di banyak kawasan luar bandar dan pedalaman.
Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) misalnya memberi keutamaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui pertanian moden dan aktiviti ekonomi lain.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi BDDA bagi tujuan itu pihaknya bercadang untuk mencapai kesepakatan bersama wakil rakyat masing-masing dari lapan kawasan di Bahagian Betong melalui BDDA, Jabatan Pertanian dan semua agensi berkaitan lain.
KEUTAMAAN SETIAP AGENSI
Beliau berkata bagi memudahkannya, BDDA memperuntukkan sejumlah RM265 juta untuk melaksanakan pelbagai program ekonomi di lapan kawasan di bawah pentadbirannya.
Ini termasuk membina jalan ladang, mengukuhkan aktiviti pertanian moden, membina industri makanan dan kraftangan, penternakan dan lain-lain.
“Sesetengah daripada di bahagian itu terutamanya petani kelapa sawit, lada dan nelayan marin sudah pun berpendapatan tinggi, tetapi kita mahu lebih ramai yang menyertainya.
“Sebab itu kerajaan telah mengadakan banyak program dan memperuntukkan dana yang sangat besar untuk membiayai mereka ini,” katanya.
Selain itu, kerajaan Sarawak juga telah memperkukuh infrastruktur asas yang diperlukan.
Antaranya ialah pembinaan berterusan Projek lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling di Betong bernilai RM296 juta yang dijangka siap pada Ogos tahun depan.
Selain itu, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) bernilai RM17 juta berhampiran STOLport ini serta pembinaan dua taman agro pertanian di Bebuling dan Lubok Tamang.
Kerajaan juga telah meluluskan sejumlah RM60 juta untuk menambah baik saliran di Taman Agro Bebuling dan RM40 juta lagi untuk membangunkannya.
Di Utara pula, peruntukan RM1. 5 billion oleh kerajaan Sarawak bakal mengubah wajah kawasan utara negeri ini apabila projek utama siap nanti.
Antaranya pembinaan lapangan terbang baru Lawas yang lebih besar, lebuh raya pesisir utara, pelabuhan laut dalam Lawas, jambatan Batang Lawas dan jambatan Batang Trusan akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi serantau. Projek itu dikendalikan di bawah NRDA.
Pembinaan lebuh raya pesisir utara akan bercantum dengan jajaran Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) di Kampung Gelugus Lawas. Ini akan menghubungkan terus Lawas dengan Kalimantan dan ibu negara baru Indonesia di Nusantara.
Malah pembinaan pelabuhan laut dalam juga merupakan projek mega yang akan melonjakkan ekonomi Daerah Lawas sebagai pusat perdagangan penting di Utara Sarawak.
Diharapkan kekayaan Sarawak dengan unjuran kemungkinan hasil mencecah RM20 bilion tahun depan akan merancakkan lagi aktiviti serta perancangan sembilan agensi ini untuk pembangunan prasarana di luar bandar dan pedalaman demi faedah rakyat.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.