
BINTULU: Semua agensi kerajaan digesa supaya lebih proaktif dan turun padang dalam menangani isu rakyat di peringkat akar umbi, bukan sekadar memberi maklum balas dalam mesyuarat tanpa tindakan penyelesaian di lapangan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, pendekatan terlibat secara langsung dengan turun padang amat penting bagi memastikan setiap masalah rakyat dapat dikenal pasti punca sebenar sebelum diselesaikan secara menyeluruh.
Menurutnya, antara isu utama yang perlu diberi perhatian segera termasuk perparitan, perumahan serta kemudahan asas yang masih belum lengkap di beberapa kawasan.
“Saya minta semua pihak benar-benar turun padang dan tidak hanya memberi jawapan dalam bilik mesyuarat. Kita mesti terlibat secara langsung dalam menangani isu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MOTAC Bersama Komuniti@Bintulu sempena Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI MOTAC Kampung Nour Iman di Kuala Tatau di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tiong memberitahu, pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Nour Iman telah memberi manfaat langsung kepada penduduk melalui beberapa projek pembangunan yang dilaksanakan secara berfasa.
Antaranya, katanya, termasuk kerja-kerja menaik taraf dewan masyarakat bagi kemudahan aktiviti komuniti setempat.
Selain itu, pemasangan lampu solar turut dilaksanakan di beberapa lokasi kampung bagi meningkatkan tahap keselamatan dan pencahayaan pada waktu malam.
Beliau berkata, projek lain yang turut dilaksanakan adalah pembinaan platform tinjau sebagai kemudahan rekreasi serta nilai tambah kepada kawasan kampung.
Dalam masa sama, kerja-kerja penambahbaikan sistem saliran turut dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir serta memperbaiki sistem perparitan sedia ada.
Tiong turut menegaskan kegagalan menangani isu asas seperti saliran dan infrastruktur boleh memberi kesan langsung kepada keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau turut meminta agensi berkaitan mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dadah melalui pendekatan turun padang serta program kesedaran di peringkat komuniti dan sekolah.
Menurutnya, kerjasama antara agensi amat penting bagi memastikan setiap isu rakyat dapat diselesaikan dengan lebih berkesan dan memberi impak tinggi kepada masyarakat.
Oleh Carolyne Utih