
LAWAS: Semua agensi dan jabatan kerajaan digesa agar lebih proaktif mendekati rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, bagi menyampaikan maklumat penting dan sahih mengenai dasar serta program kerajaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata wujudnya jurang maklumat yang ketara dalam kalangan masyarakat, terutamanya warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan penduduk kampung yang jauh dari capaian media arus perdana.
“Jurang maklumat perlu kita uruskan dengan baik. Banyak rakyat tidak tahu tentang program dan dasar kerajaan kerana tiada saluran yang sampai kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Hasrat Madani anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Daerah Lawas yang berlangsung di Tebingan Sungai Kampung Dato Kuala Lawas, semalam.
Menurut Awang Tengah, walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat, namun ia tidak memberi impak jika maklumat tidak sampai atau disalah tafsir oleh masyarakat.
“Dasar dan program sehebat mana pun, jika tidak difahami rakyat, maka matlamatnya tidak akan tercapai. Persepsi yang salah juga boleh berlaku kerana kekurangan maklumat yang betul.”
Beliau menyarankan agar agensi seperti J-KOM, Jabatan Penerangan, UKAS, RTM dan TVS terus memainkan peranan aktif dalam menyampaikan informasi melalui pendekatan yang mesra rakyat.
Awang Tengah turut menekankan pentingnya pendekatan secara langsung, iaitu bersemuka dengan rakyat, berbanding bergantung kepada saluran media sahaja.
“Perjumpaan begini lebih efektif. Ia tidak perlukan program mewah atau belanja besar, yang penting kita sampaikan maklumat dengan berhemah.”
Beliau juga menggesa agar lebih banyak program seperti Hasrat Madani dijalankan di kawasan luar bandar bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir dari arus pembangunan.
Program Hasrat Madani tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti sukan rakyat, pasar tamu dan jualan Rahmah, kaunter perkhidmatan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri serta sesi dialog bersama rakyat kampung sekitar.
Oleh Adeng Edrus