ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Sarawak menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak untuk merangka rancangan tindakan serta mempermudahkan Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 Sehingga Tahun 2030.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia adalah agenda Sarawak dalam usaha memulihkan ekonomi, menyesuaikan dengan perubahan dan mencapai ekonomi baharu.
“Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak yang terdiri daripada sektor swasta, awam dan para akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing akan mengkaji perincian sepuluh kunci utama disenaraikan di bawah Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 Sehingga Tahun 2030.
“Menyedari pentingnya agenda pemulihan pasca Covid-19, kerajaan negeri perlu mendapatkan pandangan pihak berkepentingan seperti dewan perdagangan, profesional dan akademik untuk membincangkan secara terperinci pelbagai sektor bagi merumuskan rancangan tindakan untuk mencapai agenda ekonomi baharu untuk Sarawak.
“Majlis akan mengkaji perincian cadangan tersebut dan akan diserahkan kepada kerajaan menjelang September 2020,” katanya pada sidang media Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 Sehingga Tahun 2030 di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.
Menurutnya, kesan yang ditimbulkan oleh wabak Covid-19 telah menghasilkan dan munculnya ‘norma baharu’ di seluruh dunia dan semua pihak tidak akan dapat melakukan perniagaan seperti biasa lagi.
“Ini adalah senario yang belum pernah kita alami sebelumnya dan memerlukan kita menggunakan cara baharu untuk melakukan sesuatu sekarang dan masa depan.
“Oleh itu, Sarawak mengkaji semula strategi pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 untuk pulih daripada kesan ekonomi yang teruk akibat Covid-19 agar kekal berdaya tahan, menyesuaikan diri dengan “norma baru” dan mempromosikan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi masa depan,” jelasnya.
Jelasnya, penularan wabak Covid-19 memberi impak yang cukup besar terutamanya kepada ekonomi negara dan negeri dan memerlukan dasar ekonomi dikemaskinikan agar mampu mewujudkan persekitaran baharu selain mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS).
Tambahnya, pandemik tersebut telah menimbulkan kos yang tinggi dan meningkat di seluruh dunia dengan krisis kesihatan memberi kesan yang teruk terhadap kegiatan ekonomi di seluruh dunia.
Jelasnya, ekonomi global dijangka negatif tiga peratus pada tahun 2020 jauh lebih buruk daripada semasa krisis kewangan 2008 dan Malaysia yang tidak terhindar daripada wabak ini turut merasai kesannya dengan pertumbuhan negatif antara dua peratus hingga 0.5 peratus negatif pada tahun 2020 yang dipengaruhi oleh permintaan global yang lemah, gangguan rantaian bekalan dan langkah pengekangan di luar dan dalam negeri.