KUALA LUMPUR: Usaha agenda bumiputera perlu terus diperjuangkan demi kemampanan negara untuk memastikan kemakmuran dan pembangunan dikecapi secara saksama dan adil, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.
Beliau berkata, pelbagai pembangunan ekonomi yang strategik perlu diperhebat supaya lebih memberi kesan bagi jangka panjang selain program untuk impak jangka pendek ke atas kedudukan ekonomi Melayu dan bumiputera.
“Selepas lebih 50 tahun dan pasca-DEB (Dasar Ekonomi Baru), kedudukan ekonomi bumiputera masih belum boleh dibanggakan atau menjadi seperti yang diharapkan.
“Mengikut data terkini, kebanyakan bumiputera umumnya hanyalah sebagai pekerja dan pengguna. Justeru, mereka bukan majikan atau penjana pekerjaan; bukan juga pembuat dan penjana peluang hiliran untuk vendor serta perusahaan kecil dan sederhana,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, bumiputera tidak banyak menghasilkan nilai tambah kepada ekonomi Malaysia khususnya sektor perniagaan dan pelaburan, kecuali daripada bidang pekerjaan.
“Kita menaruh harapan pada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) sebagai usaha permulaan untuk mengenal pasti keadaan dan hala tuju kita.
“Matlamat untuk mengurangkan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum, antara bandar dan luar bandar dan daerah jelas tidak ada guna jika tiada tindakan susulan yang bermakna,” katanya.
Beliau berkata, fasa pembaharuan dan menggiatkan semula yang diuar-uarkan Kementerian Kewangan perlu digerakkan dengan naratif WKB2030.
MTEM juga berpandangan beberapa perkara dalam dokumen WKB 2030 sedia ada perlu dikemaskinikan kerana sasaran ekonomi bumiputera adalah tidak lengkap atau belum cukup, katanya.
Beliau berkata, tidak boleh mensia-siakan peluang untuk mengurangkan jurang kekayaan dan penguasaan ekonomi bumiputera dengan yang lain selain dapat memastikan adanya pembangunan ekonomi yang pesat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan daerah.
Ahmad Yazid berkata, wabak Covid-19 telah menunjukkan penting untuk kerajaan menggunakan ruang dasar yang ada bagi melakukan usaha ke arah mencapai impak sosial yang optimum.
“Hari ini terbukti kerajaan Malaysia diiktiraf dunia berjaya mengawal wabak ini dengan cukup membanggakan. Kerajaan hari ini juga wajar mengambil sikap dan strategi yang sama bagi pembangunan ekonomi negara, dengan pembaharuan yang bermakna,” katanya. – Bernama