
AFRIKA Selatan minta syarikat tempatan mohon buat versi generik lenacapavir, suntikan anti-HIV, sebelum 7 April senarai pendek akan dihantar kepada Gilead Sciences pada Julai.
JOHANNESBURG: Kumpulan pertama sebanyak 37,920 dos suntikan pencegahan HIV enam bulan, Lenacapavir, tiba di Afrika Selatan minggu lepas, Jabatan Kesihatan Negara mengumumkan pada Selasa, lapor Xinhua.
Jabatan itu menyifatkan ketibaan ubat berkenaan yang disediakan menerusi geran AS$29 juta daripada Dana Global, sebagai langkah pengukuhan penting bagi negara itu.
Afrika Selatan mempunyai populasi positif HIV terbesar di dunia iaitu sekitar lapan juta orang, dengan lebih enam juta kinisedang menjalani rawatan antiretroviral.
Menteri Kesihatan Aaron Motsoaledi kini bekerjasama dengan Presiden Cyril Ramaphosa untuk pelancaran rasmi pada Mei, dan ubat berkenaan dijangka menjangkau dan diterima oleh setengah juta orang di Afrika Selatan dalam tempoh dua tahun akan datang, menurut jabatan itu dalam kenyataan.
Fasa awal akan menyasarkan daerah insiden tinggi dan kumpulan terdedah.
Dikeluarkan hanya dua kali setahun, Lenacapavir ialah wadah penting dalam mencapai matlamat Strategi AIDS Global untuk menamatkan AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030. – Bernama-Xinhua